Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

 

PUTRAJAYA, 7 Januari 2022  Sebaik sahaja benca banjir telah melanda negara pihak Kementerian telah menubuhkan Skuad Sukarelawan Banjir Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (SSB-KPDNHEP). Skuad ini digerakkan dalam misi bantuan kerja-kerja pembersihan dan penyaluran bantuan kemanusian kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara sejak 23 Disember 2021.

Hari ini, YB Menteri KPDNHEP serta Pengurusan Tertinggi Kementerian turun padang bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Sungai Rambai, Melaka yang terjejas akibat banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Sungai Rambai.

Selain itu, beberapa lokasi yang terjejas juga telah menerima bantuan, antaranya Dengkil, Banting, Sepang, Shah Alam dan Semenyih. KPDNHEP melalui SSB-KPDNHEP dan FoodBank Malaysia di bawah kelolaan Kementerian telah turut serta menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang melibatkan kakitangan Kementerian yang terkesan meliputi Negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Melaka dalam bentuk kerja-kerja pembersihan serta barang-barang yang sedia dimakan.

Sebanyak 171 keluarga yang terlibat dengan bencana banjir ini diberi bantuan . Bantuan-bantuan yang telah diberikan adalah seperti kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir, lawatan ke lokasi bencana dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), lawatan ke rumah penginapan sementara mangsa banjir, sumbangan bahan makanan dan minuman, kutipan derma kilat, sumbangan pakaian, Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) dan cecair sanitasi dan bekalan ubat-ubatan.

Selain itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 28 Disember 2021 telah mengkhususkan KPDNHEP ke Daerah Kuala Selangor sebagai kawasan angkat bagi penumpuan misi bantuan pasca banjir seperti mempercepatkan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir dan penyaluran sumbangan kemanusiaan kepada komuniti di kawasan terjejas.

Pasukan SSB-KPDNHEP juga telah ke Sekolah Menengah Jeram, Kuala Selangor yang telah dijadikan sebagai PPS bagi mangsa-mangsa banjir. Gerak kerja yang telah dilaksanakan melibatkan pembersihan dalam dan luar dewan, pembersihan longkang, pembersihan tandas, pembersihan sampah, pembersihan kelas dan sekitar sekolah dan lain-lain pembersihan yang diarahkan sebagai persediaan pembukaan semula sesi persekolahan. SSb juga telah mneyerahkan bantuan kepada beberapa kampung yang telah terjejas.

YB Dato Sri Menteri, YB Dato’ Timbalan Menteri, YBhg. Datuk Seri KSU serta Pengurusan Tertinggi Kementerian turut terlibat turun padang bersama SSB-KPDNHEP dalam misi kerja-kerja pembersihan dan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan. KPDNHEP mengucapkan terima kasih kepada semua rakan strategik dan berharap lebih banyak syarikat swasta tampil membantu meringankan beban yang dialami oleh mangsa banjir.

Akhir sekali, KPDNHEP juga mengucapkan terima kasih kepada NGO-NGO, sukarelawan-sukarelawati yang telah bersama dalam misi bantuan ini. Masa ujian ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia yang tinggi dan terpuji dalam situasi ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul merentasi garis kaum, bangsa dan agama. Syabas Keluarga Malaysia.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

(Hanya terbitan bahasa melayu sahaja)


 

PUTRAJAYA, 6 Januari 2022  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Bahagian Penguat Kuasa telah melancarkan satu program iaitu Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE) bagi membanteras jenayah pelanggaran hak cipta filem digital atau cetak rompak filem digital secara dalam medium internet.

CyCORE merupakan satu kaedah terancang yang dikhususkan untuk penerbit-penerbit filem tempatan atau pemilik-pemilik hak cipta filem tempatan agar dapat bekerjasama dengan lebih daripada 50 rakan-rakan strategik. Ianya dilaksanakan melalui kaedah tindakan sekatan laman sesawang (website blocking) dan penurunan kandungan (content removal) yang menjadi kaedah yang paling pantas dan berkesan dalam melumpuhkan aktiviti pengedaran cetak rompak filem digital dengan kerjasama rakan-rakan strategik tanpa melibatkan institusi Kehakiman.

Program yang telah dilancarkan oleh YB Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi ini mempunyai 3 objektik utama iaitu, mewujudkan satu platform kerjasama di antara Kementerian dan rakan strategik dengan pemilik hak cipta dalam membanteras pengedaran cetak rompak digital dalam medium internet, membantu mengurangkan kerugian yang dialami oleh pemilik hak cipta semasa pelancaran filem baru dalam bentuk digital dan meningkatkan pemahaman serta peranan pemilik hak cipta dalam usaha membanteras cetak rompak digital

Sehubungan dengan itu, dengan adanya Program Cyber Copyright Enforcement atau CyCORE ini, pihak Kementerian berharap agar penerbit-penerbit filem tempatan atau pemilik hak cipta filem tempatan mengambil peluang dengan menyertai program ini apabila mereka berhasrat menayangkan filem-filem mereka secara digital melalui medium internet buat pertama kali bagi membolehkan pihak Kementerian bersama-sama rakan strategik yang lain dapat bersama-sama pemilik hak cipta filem bertindak secara bersepadu dalam melindungi hak harta intelek mereka daripada dieksploitasi secara haram yang akan merugikan pemilik karya filem tersebut.

Mana-mana pihak yang memerlukan maklumat lanjut berhubung program ini atau ingin menyertai program ini bolehlah menghubungi Unit Hak Cipta dan Cakera Optik, Bahagian Penguat Kuasa di talian 03-8882 6157 atau melalui e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


 

PUTRAJAYA, 5 Januari 2022  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong komitmen Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui pelbagai bantuan terus kepada pengguna, komuniti perniagaan dan industri sejak September 2021.

Sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas dengan banjir, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga, PERODUA dan PROTON menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih di samping diskaun 50% ke atas alat ganti serta bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah.

Bagi kerosakan serius pula, Kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

KPDNKSH melalui Skuad Sukarelawan Banjir (SSB-KPDNHEP) dan FoodBank Malaysia di bawah kelolaan Kementerian telah turut serta menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri yang terjejas. Sehingga kini, SSB-KPDNKSH telah membantu seramai 171 keluarga yang terlibat di dalam bencana banjir. Sejumlah RM344,200.00 dalam bentuk barangan sedia dimakan telah disalurkan kepada Ketua Isi Rumah oleh FoodBank Malaysia.

Tahun 2021 telah mencatatkan nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan peningkatan sebanyak 5.4% kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021. Ini menunjukkan sektor yang dikawal selia oleh KPDNHEP tetap mencatatkan perkembangan yang positif walaupun negara masih bertungkus-lumus menangani isu Covid-19.

Selain itu, Kementerian telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sedang dilaksanakan oleh KPDNHEP dan agensi kerajaan yang lain diharap dapat membantu meringankan kos sara hidup Keluarga Malaysia. Turut diperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilaksanakan bermula pada 7 Disember 2021.

Kesemua inisiatif yang telah dilaksanakan itu di samping pemeriksaan yang berterusan oleh Penguat Kuasa KPDNHEP adalah usaha berterusan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Usaha ini akan dilanjutkan dengan pelbagai program bersifat rakyat-centric yang akan dilaksanakan dalam tahun 2022.

Tugas penguatkuasaan turut giat dijalankan oleh KPDNKSH melalui OPS Cakna, OPS Pasar dan OPS Menu dalam memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan ke atas insiden banjir yang melanda negara baru-baru ini. Kementerian juga akan meneruskan libat urus bersama industri untuk mencari jalan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi pasca covid-19.

KPDNHEP yakin 2022 akan melonjakkan semula semua sektor ekonomi sektor perdagangan dan pengedaran domestik. Kementerian juga ingin mengingatkan supaya rakyat dan semua premis-premis perdagangan domestik sentiasa mematuhi SOP bagi memastikan kadar jangkitan kekal rendah dan tidak menjejaskan operasi perniagaan dan pengedaran.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive