Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

BATU KURAU, 16 SEPTEMBER 2017 – Masyarakat di Batu Kurau dan Parlimen Larut khasnya diminta supaya menolak semua bentuk gerakan yang mahu memecah belah serta menganggu gugat keamanan di negara ini.

Kemajuan dan kemakmuran negara hari ini terhasil melalui adanya perpaduan, kerjasama serta sikap saling menghormati di antara satu kaum dengan yang lain. Masing-masing berganding bahu untuk mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara demi kelangsungan hidup di negara ini.

“Kami di Larut menolak semua bentuk usaha untuk membawa kepada perpecahan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini terhasil dari pembangunan negara serta sikap toleransi di kalangan kaum-kaum yang ada,” ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin ketika merasmikan Fiesta Larut 2017 serta sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Parlimen Larut  di Astaka Batu Kurau di sini,  malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, ketua-ketua Jabatan dan agensi KPDNKK serta pemimin-pemimpin tempatan. Ia turut dihadiri lebih 7,000 pengunjung.

Menurut Dato’ Seri Hamzah yang juga Ahli Parlimen P56 Larut, rakyat di Larut seharusnya mempunyai keyakinan dan kesetiaan yang tulen kepada kerajaan yang ada hari ini untuk melihat lebih banyak pembangunan dapat dijalankan di daerah ini.

Katanya, Fiesta Larut ini adalah sebahagian daripada janji beliau dua tahun lalu untuk menjadikan fiesta ini sebagai program dwi tahunan sebagai tarikan kepada masyarakat luar tentang kawasan Parlimen ini.

Program empat hari ini dipenuhi pelbagai aktiviti yang melibatkan semua peringkat umur. Ia bermula dengan program ziarah kasih ke atas 40 warga miskin dan orang sakit di beberapa buah rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri Batu Kurau. Program ini dibahagi kepada beberapa kumpulan yang diketuai Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Saleh dan  ADUN Batu Kurau.

Selain itu, pelbagai agensi, koperasi dan usahawan mengambil bahagian mempamer dan menjual produk-produk mereka. Sesi perkongsian ilmu tentang peluang-peluang menjadi usahawan oleh beberapa agensi menjadi tarikan pengunjung yang berminat untuk menceburi bidang ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


Sungai Buloh, 5 September 2017- YB Menteri KPDNKK, Dato’ Sri Hamzah Zainudin hari ini mengadakan lawatan kerja di Success Transformer Corporation Berhad (STCB) di Sungai Buloh.

Lawatan ini menunjukkan bahawa Kementerian menyokong aktiviti perdagangan yang aktif seiring dengan matlamat penubuhannya. Lawatan ini juga merupakan salah satu langkah bagi menghargai syarikat-syarikat tempatan yang berusaha untuk menghasilkan produk yang berkualiti sebelum dipasarkan.

STCB merupakan sebuah syarikat pembuatan elektrik dan elektronik yang khusus kepada transformer bervoltan rendah serta lampu pencahayaan LED dan HID. Teknologi terbaru STCB, Intelligent Light Control System (iLCS) merupakan projek perintis dalam sistem pencahayaan pintar dimana ia boleh digabungkan melalui GPS dan Wifi ke seluruh lampu yang telah disistemkan.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDNKK Dato’ Henry Sum Agong, TKSU (Perdagangan Dalam Negeri) Dato’ Basaruddin Bin Sadali, Pengarah Standard Kepenggunaan, Che Sukri Che Mat.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


NILAI, 28 OGOS 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhasrat melahirkan serta memperkasakan ekonomi 20,000 usahawan di Malaysia menjelang tahun 2020.

Program latihan Coca-Cola KU meliputi bagaimana memulakan perniagaan, menyimpan rekod perniagaan harian, menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, mengurus aliran tunai dan kredit serta menguruskan kualiti dan perkhidmatan.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, latihan tersebut turut memperkenalkan kaedah bagaimana untuk memahami perniagaan sendiri, memasarkan produk, membangunkan bajet, melakar pelan perniagaan, menguruskan inventori dan cara untuk mengembangkan perniagaan.

Program Coca–Cola KU dilancarkan awal tahun ini serta menyasarkan 14 universiti awam di seluruh negara yang menjangkau 14,000 pelajar. Sehingga kini, ia telah dilaksanakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Jabatan Pendidikan Politeknik Shah Alam dan Universiti Malaysia Perlis.

Dato’ Seri Hamzah berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke loji pengeluaran Coca-Cola di Bandar Enstek, dekat sini hari ini. Hadir sama, Timbalannya, Dato’ Henry Sum Agong dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh.

Bercakap kepada media selepas itu, beliau mencadangkan pihak pengeluaran air minuman itu menjadikan tin minuman sebagai koleksi orang ramai dengan mencetak acara-acara, gambar-gambar atau lokasi-lokasi menarik di negara ini sekurang-kurangnya dua bulan sekali supaya ia menjadi koleksi orang ramai tentang sesuatu yang menarik di negara ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


PUTRAJAYA, 28 OGOS 2017 – Kira-kira 500 warga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi-agensinya hari ini bersama-sama melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks KPDNKK disini.

Bacaan ikrar diketuai Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh. Turut menyaksikan lafaz ikrar tersebut, Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Timbalannya, Dato’ Henry Sum Agong dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkili Ahmad yang kemudiannya turut menyaksikan upacara menandatangani IBR yang didahului Dato’ Sri Jamil Salleh.

Seramai 47 pengurusan tertinggi KPDNKK, agensi dan negeri-negeri mengambil bahagian dalam majlis tersebut.

Datuk Dzulkifli Ahmad dalam ucapannya menasihatkan semua penjawat awam supaya memelihara integriti masing-masing dan sedia memberi maklumat kepada pihaknya sekiranya mempunyai maklumat tentang perlakuan rasuah atau salahguna kuasa.

Katanya, SPRM sentiasa berada hampir dengan setiap penjawat awam dan akan bertindak sekiranya menerima sebarang aduan atau maklumat yang berkaitan rasuah atau salah guna kuasa.

Dato’ Seri Hamzah pada sidang medianya selepas majlis berakhir menyokong langkah ini supaya imej KPDNKK sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat umum dan sentiasa telus dalam sebarang tindakan.

Beliau turut mengingatkan semua warga kerja di kementeriannya supaya sentiasa mendahulu kepentingan pelanggan dari diri sendiri selaras dengan konsep: #Caring Ministry yang  menjadi pegangan KPDNKK.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive