Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

MELAKA, 1 OKTOBER 2017 – Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad berjaya menggondol tiga daripada enam anugerah yang dipertandingkan dalam Konvensyen Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Mahkota Hotel, di sini.

Koperasi ini yang mewakili negeri Perak membawa projek yang bertajuk “ UR Planting Kit” turut menerima geran khas berjumlah RM 20,000 yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh.

Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad muncul juara dan memenangi kategori Projek Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM 20,000. Manakala Mohd. Rosnizam Mohd. Yusoff dari sekolah ini memenangi kategori Guru pembimbing Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM 2,000.

Pengurus terbaik turut dimenangi sekolah berkenaan menerusi Muhammad Anas Muhammad Hishamuddin yang menewaskan 13 calon lain dengan membawa pulang RM 2,000.

Sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian dalam konvensyen tahunan ini yang menemukan juara – juara setelah memenangi peringkat negeri masing-masing.

Anugerah Pembentang Terbaik disandang Nurul Zalikha Hazwani Zamri mewakili Koperasi Sekolah Menengah Syed Alwi Kangar, Perlis manakala Anugerah Persembahan Terbaik menjadi milik Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Fuad Berhad, Kota KInabalu, Sabah dan Anugerah Khas Juri dimenangi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk Pulau Pinang.

Konvensyen YESS bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan memupuk semangat keusahawanan bagi melahirkan bakal-bakal usahawan muda dalam kalangan pelajar-pelajar yang mampu berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


MELAKA, 1 OKTOBER 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh menyaran supaya koperasi-koperasi sekolah diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk meneroka bidang-bidang baharu dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan bermula di peringkat sekolah.

Katanya, koperasi sekolah tidak harus terikat dengan aktiviti rutin seperti menjual alat tulis atau buku-buku sekolah, tetapi ia perlu diperluaskan dengan aktiviti-aktiviti yang diilhamkan oleh pelajar-pelajar mahupun guru-guru. Melalui cara ini, pelajar-pelajar boleh menimba pengetahuan dan pengalaman dalam bidang keusahawanan dari peringkat sekolah lagi.

“Pelajar-pelajar ini juga harus diberi peluang untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi dalam ciptaan produk serta perkhidmatan koperasi,” ujarnya ketika merasmikan penutup Konvensyen Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) di Hotel Mahkkota , Melaka hari ini.

Konvensyen yang sebelum ini dikenali sebagai konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah diadakan setiap tahun dengan menemukan semua juara peringkat negeri dengan projek inovasi masing- masing.

Sebanyak 14 koperasi sekolah mengambil bahagian dalam konvensyen ini bagi merebut gelaran juara dengan hadiah utama sebanyak RM 20,000. Enam anugerah dipertandingkan bukan sahaja membabitkan pelajar malah guru-guru pembimbing koperasi.

Dato’ Sri Jamil mahukan agar lebih banyak koperasi sekolah mengambil bahagain pada tahun-tahun mendatang supaya lebih banyak inovasi dapat dihasilkan oleh pelajar-pelajar.

Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad yang mewakili negeri Perak muncul pemenang bagi kategori Projek Terbaik dengan memperkenalkan “ UR Planting Kit’ dengan membawa pulang RM 20,000 dan tambahan sebanyak RM 20,000 geran seperti yang diumumkan oleh Dato’ Sri Jamil.

Kolej ini juga memenangi Anugerah Guru Pembimbing Terbaik dan Anugerah Pengurus Terbaik. Anugerah Pembentang Terbaik dimenangi Koperasi Sekolah Menengah Syed Alwi, Kangar. Anugerah Persembahan Terbaik menjadi milik Koperasi Sekolah Menengah Taman Tun Fuad Berhad, Kota Kinabalu  dan Anugerah Khas Juri memihak kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Pulau Pinang.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


HERAS, 29 SEPTEMBER 2017 – Bakal-bakal guru perlu mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai pengguna agar tidak terpedaya dengan segelintir peniaga yang tidak jujur.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong berkata, sesuai dengan tema debat tahun ini, “Pendidikan Dan Kepenggunaan” , setiap pengguna mesti mengetahui hak-hak dan tanggungjawab mereka.

Setiap pengguna perlu mengambil berat akan peranan serta hak-hak mereka kerana jika semua pihak tahu menggunakan hak-hak yang ada, maka dapat menghindari dari terpedaya oleh peniaga yang tamak.
Dato’ Henry berucap ketika melancarkan Debat Terbuka Ilmu Khas (Detik) 2017 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan Pelancaran Friends Of KPDNKK Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, malam tadi.
Sebanyak 64 pasukan mewakili Institut Pendidikan Guru, Institut Penggajian Tinggi Awam dan Kolej mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama tiga hari itu.

Dato’ Henry berkata, pengguna perlu menyokong kerajaan dengan menjadi Friends Of KPDNKK dan bertindak sebagai mata dan telinga untuk mengawasi kegiatan kurang beretika peniaga seperti menaikkan harga barangan, menyorokkan bekalan, menipu timbangan dan lain-lain lagi.

“Walaupun jumlah keahlian FOK hampir mencecah 800,000 seperti yang disasarkan, namun mereka ini mesti diberikan penerangan dan tanggungjawab untuk membolehkan mereka berperanan membantu kerajaan,”

Majlis pelancaran ini turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Kepenggunaan), Dato. Razali Haji Othman, Pengarah Bahagian Kepenggunaan KPDNKK, Haji Bakri Ibrahim dan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Ummi Nasrah Othman.

Beliau mengajak semua guru-guru pelatih agar menjadi ahli FOK dan menikmati faedah yang disediakan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


PUTRAJAYA, 28 SEPTEMBER 2017 – Pegawai dan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) diajak untuk melakukan transformasi bagi mendapatkan hasil yang baik.

Sikap jumud atau selesa di takuk lama bukan sahaja merugikan, malah ia dianggap ketinggalan dari arus peredaran semasa.

Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, transformasi atau berhijrah kepada sesuatu yang lebih baik dari apa yang ada sekarang dianggap satu kejayaan yang besar. Transformasi atau penghijrahan tidak perlu ditakuti malah harus disambut dengan baik kerana suasana sekeliling serta cabaran baharu menjadikan seseorang itu lebih matang dan berjaya.

Beliau mengajak warga kementerian ini supaya sentiasa dinamik dan sedia kepada sebarang perubahan sebagai peluang untuk menambah pengalaman dan pengetahuan.

Dato’ Seri Hamzah bercakap demikian kepada kira-kira 500 warga KPDNKK di majlis Perhimpunan Bulanan kementerian ini di sini, pagi tadi. Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK Dato Sri Jamil Salleh, Pengarah Urusan Bank Rakyat,pengurusan tertinggi kementerian dan agensi.

Di majlis ini, Dato’ Seri Hamzah menyerahkan sumbangan Tabung Kemanusiaan Rohingya berjumlah RM 50,000 hasil kutipan dari warga kerja KPDNKK dan agensi-agensi serta semasa program Fiesta Larut baru-baru ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U.

Majlis perhimpunan ini turut meraikan persaraan pegawai dan kakitangan KPDNKK yang akan dan telah bersara sepanjang tahun 2017.

Satu majlis ringkas turut diadakan sebagai simbolik sempena merayakan ulang tahun ke – 63 Bank Rakyat. Dato’ Seri Hamzah mencadangkan agar pengurusan Bank Rakyat memberi sesuatu insentif kepada semua warga KPDNKK berupa saham atau sebagainya menghargai sumbangan dan sokongan bagi melonjakkan nama baik bank ini sehingga berjaya mencapai 10 Koperasi terbaik di Malaysia dan kedudukan ke-300 dikalangan gerakan koperasi di peringkat dunia.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive