Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KOTA BAHRU, 21 MAC 2017 – Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diingatkan agar memantapkan nilai-nilai integriti dan rasa tanggungjawab ketika menjalankan tugas masing-masing.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh berkata, integriti perlu menjadi budaya setiap warga kementerian ini kerana pengabaiannya boleh memberi kesan langsung kepada nama baik seluruh organisasi.

“Isu integriti memang menjadi agenda utama kepada kementerian ini selain dari soal prestasi dan tanggungjawab yang mesti dilakukan. Kita tidak boleh memandang remeh isu-isu ini kerana ia memberi kesan langsung kepada nama baik kementerian dan kita sendiri,” ujarnya ketika mengadakan sesi ramah mesra dengan warga KPDNKK Negeri Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Roslan Mahayuddin dan Pengarah KPDNKK Kelantan, Dato’ Ab. Ghani Harun.

Katanya, soal kebajikan dan kenaikan pangkat untuk semua pegawai dan kakitangan di dalam kementerian ini sentiasa diberikan perhatian. Peluang kenaikan pangkat akan dipertimbangkan kepada mereka yang telah memberikan komitmen serta aktif untuk menyempurnakan tanggungjawab masing-masing.

Dato’ Sri Jamil mengingatkan supaya warga KPDNKK tidak menggunakan media social untuk menghentam dasar-dasar dan tindakan kerajaan secara terbuka. Pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan aktiviti ini tidak berlaku membabitkan warga kementerian ini. Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan disiplin seperti buang kerja akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah.


PUTRAJAYA, 21 MAC 2017 – Rang Undang-undang Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan motor akan diperkasa serta dipertingkatkan tahap profesionalismenya.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam banci yang dijalankan pada tahun 2016, terdapat lebih 30,000 bengkel kereta di negara ini. Kebanyakannya tidak mempunyai lesen bagi menyatakan perniagaan yang dilakukan pihak tertentu.

Seramai 250 peserta dari kalangan pemimpin persatuan automobil, pemilik bengkel serta pelajar hadir pada majlis walk about itu.

“Kita mahu mencontohi hospital kerana pegawai perubatan  mempunyai kepakaran untuk melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawab. Seperti juga hospital, mekanik  juga perlu mempunyai kemahiran melakukan sesuatu kerja penyelenggaraan supaya  dapat memberi kepuasan kepada pelanggan,” ujarnya ketika berucap pada sesi Townhall Menteri KPDNKK bersama pihak Industri dan pihak berkepentingan berhubung Rang Undang-undang Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembaikan Kenderaan Motor di Dewan Serbaguna KPDNKK di sini hari ini.

Rang Undang-undang ini membantu menaikkan imej dan kredibiliti industri penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan motor. Ia juga bakal mewujudkan pengusaha yang beretika dan bertanggungjawab.

“Kita percaya pengguna akan mempunyai keyakinan terhadap bengkel-bengkel kenderaan yang ada kerana mekanik-mekanik mereka kini terlatih dan mempunyai kemahiran untuk melakukan tugas yang diberi.

“Industri ini akan berkembang dan bergabung membentuk satu rangkaian yang besar sehingga mewujudkan francais di serata tempat. Ini satu fenomena yang baik bagi pemain-pemain industri sehingga memberi keyakinan kepada pihak insurans untuk membuat urusan dengan mereka,” tambahnya.

“Kejayaan atau kegagalan sesuatu itu bergantung kepada bagaimana pematuhan prosedur yang ditetapkan,” tegasnya.

Dato’ Sri Hamzah juga mahukan hasrat yang terbantut sejak 15 tahun dahulu menjadi satu realiti bagi mewujudkan kepentingan bersama di antara pengguna dan pengusaha.


PENGKALAN KUBOR, 20 MAC 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh hari ini mengambil peluang meninjau di Sungai Golok menaiki bot Polis Marin dari sini sebelum berpatah balik di Jeram Perdah, Dearah Pasir Mas.

Perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer itu disertai tiga bot peronda Polis Marin Malaysia dan sebuah bot Polis Marin Thailand. Tinjauan ini turut disertai pegawai-pegawai kanan Polis Marin Bukit Aman, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan, Pegawai Polis Marin Tatbai, Thailand dan pegawai-pegawai KPDNKK.

Dalam tinjauan ini, bot peronda Polis Marin terserempak dengan dua bot kayu dari negara jiran yang cuba menyeludup masuk barangan yang disyaki beras sebelum mereka mengambil keputusan berpatah balik ke perairan negara mereka untuk mengelak dari di tahan penguatkuasa negara ini.

Ahli rombongan kemudian di bawa melawat sebuah tugu yang dijadikan penanda di Jeram Perdah itu bagi mengukur jarak lebar sungai yang memisahkan kedua-dua negara sebagai sempadan.

Sungai Golok yang dikatakan mempunyai jarak kira-kira 150 kilometer dari Pengakalan Kubor ke Jeli mempunyai 122 pangkalan haram yang menjadi pintu keluar masuk di antara kedua-dua negara itu.


PENGKALAN KUBOR, 20 MAC 2017 – Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini memeterai perjanjian persefahaman dengan Pasukan Polis Marin untuk menyelaras semua Prosedur Arahan Tetap (SOP) dan Pelancaran Operasi Bersama (NBOS) membabitkan aspek penguatkuasaan di lapangan terutama di kawasan perairan sempadan negara.

Kerjasama yang terbentuk di antara dua pihak ini membabitkan operasi-operasi bersepadu yang dilaksanakan terutamanya dalam operasi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi, penyerahan kes-kes tangkapan yang membabitkan Akta Kawalan Bekalan 1961 serta permohonan bantuan logistik dan kawalan seperti penggunaan bot-bot ronda serta pegawai dan anggota ketika menjalankan operasi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Roslan Mahayudin berkata, peranan dan fungsi setiap agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan penguatkuasaan adalah berbeza mengikut keperluan.

Kerjasama dua-dua pihak melalui Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) mampu mengembelng tenaga kedua-dua agensi berkenaan untuk membanteras penyelwengan dan ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi.

Katanya, penyelewengan serta ketirisan di kawasan sempadan negara tidak lagi terhad kepada minyak petrol dan diesil tetapi ia turut membabitkan barang-barang kawalan dan kawalan bersubsidi seperti gula, minyak masak, tong gas memasak, tepung dan beras.

Dato’ Roslan berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Bahagian Penguatkuasa KPDNKK dan Pasukan Polis Marin di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengakalan Kubor di sini hari ini.

MoU ini disaksikan Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, DCP Dato’ Azizan Abd. Aziz.

Dalam ucapannya di majlis yang sama, DCP Dato’ Azizan berharap agar pelaksanaan SOP ini akan menentukan keutamaan dan keberhasilan yang diharapkan oleh pemegang taruh.

Aktiviti penyeludupan akan dapat ditangani secara bersama disamping mengurangkan aktiviti penyeludupan barang-barang keperluan negara ke negara jiran.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive