Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
AHLI EXCO NEGERI BANTU MAINKAN PERANAN DALAM PEMBANGUNAN DAN KEMAJUAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL

image

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2018 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berharap agar Exco-exco Kerajaan Negeri yang dilantik dapat memainkan peranan dalam pembangunan dan kemajuan penjaja dan peniaga kecil di negara kita.

“Melalui komitmen semua pihak, hasrat kementerian untuk melihat sektor penjaja dan peniaga kecil di Malaysia berkembang ke peringkat yang lebih tinggi dapat direalisasikan”, katanya ketika berucap di majlis Penyampaian watikah pelantikan kepada 13 Exco Kerajaan Negeri sebagai Ahli Majlis Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (M3PK) di peringkat kebangsaan merangkap Pengerusi Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (M3PN) di peringkat negeri di Bilik Taklimat, Bangunan Parlimen    di sini, hari ini.

Menurutnya, pelantikan Ahli Majlis ini adalah berdasarkan Exco-exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio penjaja dan peniaga kecil dan dilantik oleh Menteri Besar  di negeri masing-masing.

Datuk Seri Saifuddin juga menyampaikan amanat dan hasrat beliau dalam usaha meningkatkan dan mengembangkan perniagaan penjaja dan peniaga kecil di negara ini.

Antara aspek yang diberi penekanan ialah peranan M3PK dan M3PN sebagai forum rasmi untuk menyalurkan input dalam merancang dasar kementerian, strategi dan program yang akan memanfaatkan golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Peningkatan produktiviti dan kualiti dalam produk PKS, masyarakat tanpa tunai (cashless society) dalam transaksi jualan barangan dan perkhidmatan, persediaan menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan keprihatinan kerajaan untuk menangani beban kos sara hidup,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Jamil Salleh.


INISIATIF KERAJAAN MELALUI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN PEMAIN INDUSTRI SEKTOR PERUNCITAN

image

MELAKA, 29 SEPTEMBER 2018 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Harga Patut (KHP) 2018 Peringkat Kebangsaan.

Kementerian menganjurkan Karnival Jualan Mini KHP selama tiga hari iaitu dari 28 sehingga 30 September 2018 (dari jam 10 pagi hingga 10 malam). Antara komponen utama dan pengisian Karnival Jualan Mini KHP adalah seperti Karnival Jualan, Jualan Trak Makanan, forum dan seminar Perniagaan, aktiviti serta permainan keluarga dan kanak-kanak, hiburan dan inforia.

Penyertaan 10 pasar raya besar asing dan tempatan dalam Karnival Jualan Mini KHP menjadi tarikan utama di mana pasar raya terbabit akan berkumpul di bawah satu bumbung untuk membuat jualan dengan potongan menarik sehingga 70% bagi barangan keperluan asas, in-house brand dan pelbagai lagi produk berjenama mengikut keperluan pengguna.

Selain nama-nama di atas, enam lagi pemain industri turut menyokong KHP ini dengan melaksanakan inisiatif jualan berpatutan di premis dan cawangan masing-masing sepanjag tempoh pelaksanaan KHP.

KHP 2018 merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan pemain industri sektor peruncitan dengan tujuan untuk menawarkan barangan pada harga yang terbaik kepada pengguna bagi mencapai objektif membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan merancakkan kegiatan ekonomi domestik. Program ini dilaksanakan bagi tempoh empat bulan iaitu dari September sehingga Disember 2018.

Penyertaan pemain industri dalam program KHP adalah sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif Kerajaan bagi membantu menangani isu kos sara hidup di kalangan rakyat dan sebagai tanda keperihatinan Kerajaan dan pihak industri di mana Kementerian memainkan peranan sebagai pemudah cara dan memberikan galakan kepada pihak peruncit dan peniaga untk turut serta dalam usaha untuk menawarkan barangan pada harga yang berpatutan.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail. Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Tuan Adly Zahari, Ahli –ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka dan pegawai-pegawai kementerian.

Oleh : Unit Kominukasi Korporat KPDNHEP


11 PEGAWAI PENGUATKUASA TERIMA SIJIL PENGHARGAAN TOLAK RASUAH

image

PUTRAJAYA, 28 N0VEMBER 2018 – Seramai 11 pegawai penguatkuasa masing-masing 10 lelaki dan seorang wanita hari ini dipilih menerima sijil penghargaan khas kerana tindakan mereka menolak rasuah ketika menjalankan tugas mereka.

Mereka adalah pegawai-pegawai penguatkuasa yang bertugas di peringat negeri dan cawangan kementerian ini yang ditawarkan rasuah oleh peniaga ketika melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sijil yang disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasutioan Ismail di Perhimpunan Bulanan   yang bertepatan sambutan Hari Integriti KPDNHEP di Dewan Serbaguna kementerian ini di sini.

Sambil menyifatkan bahawa tindakan kesemua 11 pegawai ini memang tepat dan bijak, Datuk Seri Saifuddin ketika di sidang medianya selepas majlis berkata, warga kerja KPDNHEP perlu mencontohi tindakan yang diambil mereka kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul perlu diutamakan.

“Sifat terpuji ini sudah seharusnya menjadi budaya kerja warga kementerian ini. Kita perlu mengutamakan amanah dan tanggungjawab daripada soal-soal yang berisfat mementingkan diri sendiri,” ujarnya lagi.

Majlis perhimpunan kali ini diadakan bersempena Sambutan Hari ICT, Hari Inovasi dan Hari Integriti KPDNHEP. Pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan dua hari itu seperti pameran ICT, ceramah berkaitan teknologi maklumat, ceramah kesedaran ICT, trend penipuan secara siber, peraduan celik ICT serta tayangan wayang gambar.

Sambutan Hari Inovasi sebagai pengiktirafan kepada inisiatif dan inovasi-inovasi yang dilakukan oleh warga kerja kementerian ini dalam memberi nilai tambah kepada sistem penyampaian melalui idea-idea baharu yang dapat mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja.


JADIKAN INTEGRITI SEBAGAI BUDAYA HIDUP

images

SEPANG, 15 NOVEMBER 2018 –  Warga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran agar menjadikan integriti sebagai sebahagian dari budaya hidup masing-masing bagi melahirkan penjawat awam yang amanah, cekap dan bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, langkah ini selaras dengan dasar kerajaan yang mahu menjadikan perkhidmatam awam sebagai bebas dari segala bentuk rasuah dan bertanggungjawab.

Katanya, integriti bukan tertakluk kepada rasuah sahaja tetapi ia meliputi cara hidup dan cara bekerja. Kerajaan juga mahu melihat sistem penyampaian di sektor awam dapat dilaksanakan dengan adil dan telus.

“Menepati masa, amanah, bertanggungjawab adalah sebahagian daripada beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan budaya integriti yang mampu melahirkan insan yang berkualiti,” tambahnya.

Datuk Muez berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus Smart Insani Bilangan 4 /2018 di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang dekat sini, hari ini. Seramai
21 peserta menghadiri kursus tiga hari itu yang dianjurkan bersama Bahagian Integriti KPDNHEP dan Jakim.

Katanya, sejak 2015, seramai 420 warga KPDNHEP telah mendapat manfaat daripada kursus yang diadakan. Bahagian Integriti disaran menyemak semula modul dan jangkamasa penganjurannya bagi menyesuaikan dengan kehendak dan kumpulan sasar.

“Kita menyasarkan agar lebih ramai warga KPDNHEP dipilih menghadiri kursus ini bagi melahirkan kumpulan pekerja yang berkualiti dan berintegriti mulai tahun depan,” ujarnya lagi.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive