Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
PERJUMPAAN YBM PDN BERSAMA MENTERI UTILITI DAN TELEKOMUNIKASI SARAWAK

KUCHING, 9 FEBRUARI 2024, JUMAAT - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meluangkan masa dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Dato Sri Haji Julaihi Bin Haji Narawi di Bangunan Pelita, Kuching, Sarawak.

Antara perkara utama yang telah dibincangkan adalah berhubung aktiviti pengedaran gas yang meliputi gas asli dan gas petroleum cecair (LPG).

Kerajaan Sarawak telah mempunyai kawal selia penuh ke atas aktiviti pengedaran gas di negeri ini. Perundangan negeri iaitu Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO 2016) telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2021 melalui Pemberitahuan Pengecualian di bawah Petroleum Development Act 1974 dan Perintah Kawalan Bekalan (Pengecualian) 2021. Bermula 1 Jun 2021, peranan KPDN berhubung kawal seliaan, pengedaran dan pelesenan LPG telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak.

Melalui pertemuan dua hala ini, YB Menteri telah menzahirkan komitmen KPDN untuk memberikan kerjasama daripada aspek latihan dan advokasi dalam proses MUT meningkatkan kapasiti dan mekanisme penguatkuasaan khususnya dalam menangani isu ketirisan subsidi melibatkan gas asli. KPDN juga bersedia untuk terlibat dalam sebarang operasi bersepadu penguatkuasaan sekiranya diperlukan oleh MUT.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


TINJAUAN SEMPENA PELAKSANAAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN TAHUN BARU CINA 2024

KUANTAN, 8 FEBRUARI 2024, KHAMIS – Yang Berhormat Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh telah mengadakan lawatan turun padang di sekitar Kuantan, Pahang bagi membuat tinjauan di lapangan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 yang berkuat kuasa bermula 6 Februari sehingga 14 Februari 2024.

Tempoh pelaksanaan adalah selama 9 hari iaitu 4 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 4 hari selepas perayaan.

Tujuan utama tinjauan dilakukan adalah bagi memastikan semua pihak terutama para peniaga dapat mematuhi harga-harga barangan yang telah diwartakan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

Sebanyak 11 jenis barangan yang diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 dan senarai barangan bagi adalah seperti berikut:

  1. Udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram);
  2. Ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor);
  3. Babi hidup; IV. Daging babi (perut);
  4. Daging babi (daging dan lemak);
  5. Kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing);
  6. Ubi kentang import (China);
  7. Bawang putih;
  8. Halia tua import;
  9. Lobak putih import; dan
  10. Lobak merah

Pada masa yang sama, seramai 2,200 orang anggota Penguat Kuasa KPDN bersama- sama 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN di seluruh negara telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi memastikan pelaksanaan skim ini dilaksanakan dengan lancar dan telus.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


WALKABOUT SEMPENA BERKUATKUASANYA SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN (SHMMP) TAHUN BARU CINA 2024

Turun padang YBrs. Tuan Peter J. Berinus Agang, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dengan mengadakan sesi walkabout di pasaraya H&L Supercenter, Kuching Sentral, Kuching Sarawak bagi meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024 yang mula berkuatkuasa dari 6 Februari 2024 hingga 14 Februari 2024 di peringkat Negeri Sarawak pada 6 Februari 2024.

SHMMP Tahun Baru Cina 2024 akan berkuatkuasa selama Sembilan (9) hari meliputi empat (4) hari sebelum perayaan, (1) hari semasa perayaan dan empat (4) hari selepas perayaan. Sebanyak 11 jenis barangan harga terkawal yang akan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP TAHUN BARU CINA 2024 adalah seperti berikut:

    1. Udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram);
    2. Ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor);
    3. Babi hidup;
    4. Daging babi (perut);
    5. Daging babi (daging dan lemak);
    6. Kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing);
    7. Ubi Kentang Import (China);
    8. Bawang putih;
    9. Halia tua import;
    10. Lobak putih import; dan
    11. Lobak merah ;

SHMMP Tahun Baru Cina 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Tahun Baru Cina 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my.

KPDN Sarawak telah mengerakkan 189 pegawai Penguat Kuasa dan 97 Pegawai Pemantau Harga di lokasi strategik seluruh Negeri Sarawak bagi memantau keberadaan bekalan dan pematuhan serta pemeriksaan di pasar awam, pasar basah dan pasaraya. Pemantauan dijalankan bagi mengesan ketidakpatuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya mana-mana ketidakpatuhan oleh peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan yang dtetapkan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


KPDN SELANGOR TERIMA KES SERAHAN PDRM DAN BERJAYA SELAMATKAN SUBSIDI NEGARA DIANGGARKAN BERNILAI SETENGAH JUTA

SHAH ALAM, 3 FEBRUARI 2024, SABTU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah menerima kes serahan daripada Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman yang melibatkan aktiviti yang disyaki penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel.

Serbuan ke sebuah premis yang terletak di sekitar shah alam mendapati sebuah gudang yang menjalankan aktiviti memasar dan mengedar secara borong bahan-bahan petroleum. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut didapati menjalankan aktiviti dan berurusan/memindahkan barang kawalan berjadual jenis diesel tanpa suatu lesen yang sah/tanpa kebenaran dari Pengawal dan didapati premis tersebut juga tidak mempunyai lesen/permit/kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual jenis diesel.

Turut ditemukan adalah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan semasa aktiviti pemindahan bahan api seperti flow meter yang lengkap bersambung dengan hos penyedut cecair. Selain itu,  beberapa buah skid tank yang berfungsi untuk menyimpan bahan mudah terbakar seperti diesel turut ditemukan dalam sebuan itu. Sebahagian Skid tank yang dijumpai dikesan ada yang berisi bahan api disyaki diesel serta ada juga yang ditemui kosong. Kenderaan jenis lori tangki turut dijumpai berada di dalam premis yang diserbu.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat di dalam aktiviti ini serta mengenalpasti rantaian pengedaran barang kawalan berjadual terbabit. Potensi kesalahan akan disiasat di bawah : i. Seksyen 16 AKB 1961 – menjual barang kawalan berjadual tanpa lesen atau melanggar syarat-syarat dalam lesen.

Oleh: Unit Komuniasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive