anms| FAQ BI| CONTACT BI| FEEDBACK BI| SITEMAP BI
Home Media KPDN News Latest News 2022 OPS TERJAH PEMERIKSAAN KEBERADAAN BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN DI PASARAN

OPS TERJAH PEMERIKSAAN KEBERADAAN BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN DI PASARAN

Kuala Lumpur, 16 Disember 2022 – YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub hari rini telah melakukan lawatan secara mengejut ke pasar pagi di Kuala Lumpur untuk memeriksa sendiri keadaan bekalan dan harga barangan keperluan asas.  Pada hari ini juga, beliau dengan rasminya telah melancarkan OPS TERJAH.

Menurut beliau, OPS TERJAH ini adalah untuk melihat sendiri masalah bekalan dan harga barangan asas, mengenalpasti zon atau kawasan mana yang terjejas dengan bekalan dan harga serta tahap keseriusannya. Ianya juga untuk mengenalpasti punca utama kenapa berlakunya isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.

Melalui dapatan daripada OPS TERJAH ini, kerajaan akan pastikan rangka kerja untuk tindakan segera dihasilkan. Pihak Kementerian juga sedang menyediakan pelan strategik jangka masa pendek dan sederhana berdasarkan maklumat yang kami terima. Ini amat penting untuk memastikan kestabilan bekalan barangan asas memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi.

Ini merupakan kali ketiga beliau melakukannya, sejak menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Selaras dengan objektif utama OPS TERJAH, 2,200 orang Pegawai Penguat  Kuasa KPDN akan digerakkan untuk melakukan OPS TERJAH  di seluruh negara dalam masa sebulan ini dan melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan asas kepada Kementerian.

Pemeriksaan di bawah OPS TERJAH ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tambahnya lagi, KPDN ingin meminta kerjasama kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan terutamanya bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak Penguat Kuasa Kementerian.

KPDN juga akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) anggota-anggota Penguat Kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan Van STAR (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna) dan Kereta Peronda bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara di atas boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi yang telah disediakan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat