Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

kerajaan prihatin terhadap kos sara hidup rakyat

PUTRAJAYA, 8 Jun 2021 - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM 600 juta tahun ini berbanding RM 528 juta tahun lalu bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak atau Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS).

COSS merupakan program subsidi minyak masak yang bertujuan meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup. Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik iaitu RM2.50 sepeket.

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP menjelaskan bahawa Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan di kilang yang sama.

Menurutnya, minyak masak yang dijual dalam botol plastik dan tin adalah tidak bersubsidi dan harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia. Rakyat bebas untuk membuat pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg atau tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin. 

“KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi bagi mengurangkan beban pengguna” ujarnya.

Pihak Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengabil tindakan di bawah AKHAP jika peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.

KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


tiada larangan penjualan minuman keras di premis

Putrajaya, 4 Jun 2021 -  Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan bahawa Kilang Arak dan Premis Yang Khusus Menjual Arak (Liquor Shop) tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (lockdown) bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

MKN turut memutuskan bahawa penjualan arak di kedai runcit seperti 7-eleven dibenarkan sekiranya mempunyai lesen. Hanya kilang dan kedai khusus menjual arak tidak dibenarkan beroperasi.

Menurut timbalan Menteri KPDNHEP , Dato’ Haji Rosol Wahid, premis atau syarikat perniagaan dan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai perlu atau ‘essentials’ seperti makanan dan minuman (food and beverages) dibenarkan beroperasi di bawah senarai perkhidmatan perlu (essential service).

Ini termasuk pasaraya, pasar mini dan serbaneka, dimana sebahagian premis ini turut mempunyai lesen dan seksyen khas untuk menjual minuman keras.

“Oleh itu, tiada larangan untuk premis terbabit yang dikategorikan sebagai perlu dan mempunyai lesen untuk menjual minuman keras untuk menjual barangan yang terdapat dalam premis mereka termasuklah minuman keras dengan syarat mereka patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan” katanya.

Tambahnya lagi, perkara di atas juga terpakai kepada rokok yang dijual dalam premis yang disenaraikan di bawah kategori perlu atau ‘essentials’ tertakluk kepada peraturan penjualan sepertimana yang telah ditetapkan.

Dato’ Haji Rosol menegaskan bahawa apa yang dibenarkan dalam senarai perkhidmatan perlu atau 'essential service', itu sahaja yang dibenarkan beroperasi. KPDNHEP mengikut sepenuhnya SOP yang telah disediakan oleh MKN. 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


pemerkasa plus memperkasa komuniti dan ekosistem

PUTRAJAYA, 1 JUN 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong inisiatif kerajaan yang terbaru iaitu Program

Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Mei 2021. PEMERKASA PLUS ini memberikan penumpuan kepada 3 matlamat utama bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP menghargai kepercayaan YAB Perdana Menteri atas pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi KPDNHEP dalam Matlamat Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

Melalui inisiatif ini, pelanjutan masa 90 hari diberikan kepada syarikat dengan tahun kewangan berakhir 1 November 2020 hingga 31 Januari 2021 bagi mengedarkan penyata kewangan, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, menyerah simpan penyata kewangan dan RM100 fi permohonan lanjutan masa dikecualikan. 

 Selain itu, SSM juga memperkenalkan moratorium 30 hari selepas tamat tempoh Total Lockdown bagi serah simpan dokumen berkanun di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dengan Fi lewat serah simpan dikecualikan.

SSM juga mengurangkan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarkat 2016.

Di samping itu, SSM juga mengecualikan kompaun ke atas kelewatan pembaharuan dan kelewatan pendaftaran perniagaan sehingga 31 Disember 2021.

Dato Sri Alexander berkata KPDNHEP juga akan terus mempertingkatkan Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus bagi mengawal penularan pandemik Covid-19

“Sehingga 31 Mei 2021, Penguat Kuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan di 570,932 premis perniagaan di seluruh negara dengan pematuhan yang membanggakan” ujarnya.

Tambahnya lagi, para peniaga PKS yang terlibat dalam industri pembuatan dan pengedaran juga akan menyambut baik dengan Geran Khas Prihatin dan Kemudahan Mikro Kredit. Ini akan meningkatkan lagi prestasi perniagaan mereka.

KPDNHEP turut menyambut baik peruntukan PEMERKASA Plus bernilai 1.5 bilion ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah selama satu bulan lagi dan ini tentunya melegakan industri borong dan runcit seperti yang disasarkan.

Secara keseluruhannya, KPDNHEP yakin PEMERKASA Plus akan menjadi pelengkap kepada program serta inisiatif sedia ada. Pastinya ini akan membantu mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi negara di semua sektor dan industri khususnya melalui kelangsungan perdagangan domestik.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


HARGA MAKSIMUM BARANGAN HARGA TERKAWAL SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN PESTA KAAMATAN DAN HARI GAWAI 2021

PUTRAJAYA, 24 MEI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 sebagai langkah untuk memastikan harga barangan keperluan berpatutan sepanjang sambutan perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut oleh penduduk di Labuan dan Sabah pada 31 Mei 2021 dan Hari Gawai pula akan disambut oleh penduduk di Sarawak pada 1 Jun 2021. 

Pengumuman yang dibuat Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menyebut SHMMP PESTA KAAMATAN 2021 akan bermula pada 27 Mei 2021 hingga 2 Jun 2021 iaitu selama 7 hari (tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas hari perayaan).

Katanya, Kementerian ini telah mengenal pasti sebanyak 11 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP PESTA KAAMATAN 2021. Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan babi. Senarai barangan bagi SHMMP PESTA KAAMATAN 2021 adalah seperti berikut:

Ayam hidup, Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), Kepak ayam, Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji),Daging kerbau import (India), Babi hidup (*Harga maksimum di peringkat ladang sahaja),Daging babi (perut) dan Daging babi (daging dan lemak)

“Perbandingan harga runcit maksimum SHMMP Pesta Kaamatan 2021 dengan 2020 adalah dua jenis barangan mengalami kenaikan dan sembilan jenis barangan kekal. Barangan yang mengalami kenaikan di Sabah adalah kepak ayam dan daging babi (perut). Manakala barangan yang mengalami kenaikan di WP Labuan adalah ayam hidup dan kepak ayam” ujarnya.

Menurut Dato Sri Alexander lagi, bagi SHMMP HARI GAWAI 2021 pula, tarikh berkuat kuasa adalah pada 28 Mei 2021 hingga 3 Jun  2021 iaitu selama tujuh hari (empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan dua hari selepas hari perayaan).  

“Kementerian ini telah mengenal pasti sebanyak 11 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim ini. Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam dan babi.

“Perbandingan harga runcit maksimum SHMMP Hari Gawai 2021 dengan 2020 adalah hanya 1 jenis barangan mengalami kenaikan dan 10 jenis barangan kekal. Barangan yang mengalami kenaikan adalah kepak ayam kepak ayam,tambahnya.

Senarai barangan SHMMP HARI GAWAI 2021 adalah seperti  Ayam hidup, Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), Ayam tua hidup, Kepak ayam, Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji), Babi hidup (*Harga maksimum di peringkat ladang sahaja), Daging babi (perut) dan Daging babi (daging dan lemak).

Dato Sri Alexander mengingatkan bahawa Kementerian akan membuat pemeriksaan dan pemantauan di premis yang berkaitan di Labuan, Sabah dan Sarawak bagi memastikan peniaga patuh ke atas SHMMP ini dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive