Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PROGRAM_ADVOKASI_PENGGUNA_BIJAK_DAN_PELANCARAN_SHOPPINGSTREETJALANTAR

KUALA LUMPUR, 24 APRIL 2021 - Program advokasi pengguna dan shopping street anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini mengadaptasi elemen norma baharu dalam sektor peruncitan dan merupakan kesinambungan daripada Program Jualan Malaysia (PJM) bagi Tahun 2021 yang telah dilancarkan di Pusat Membeli Belah Jakel pada 9 April yang lepas.

Program Advokasi Pengguna Bijak dan Pelancaran #ShoppingStreetJalanTAR bertempat di Pasar Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) Kuala Lumpur. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid.

Selain itu, program advokasi ini berfokus dalam menyalurkan maklumat dan peringatan terhadap pematuhan SOP, di samping memberi kesedaran berkaitan hak pengguna dan isu-isu kepenggunaan melalui pendekatan yang lebih santai kepada komuniti pengguna dan peniaga di sekitar kawasan tersebut.

Selaras dengan tema Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia 2021 iaitu “Menangani Pencemaran Plastik”, Kementerian ingin menggiatkan lagi penyebaran kesedaran dan pembudayaan Kempen Bebas Plastik.

Dalam sidang medianya, Dato’ Rosol berkata, KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan ke atas semua premis untuk memastikan mereka menjalankan urus niaga dengan jujur dan tidak mencari keuntungan yang tidak munasabah dengan melakukan pencatutan serta sebagainya. Katanya, KPDNHEP turut akan mempertingkatkan pemeriksaaan ke atas penjualan barangan tiruan terutama di musim perayaan ini.

Jalan TAR dipilih sebagai lokasi shopping street di peringkat WP Kuala Lumpur kerana lokasi pasar di kawasan tersebut yang menjadi tumpuan kebanyakan warga kota untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, di samping aktiviti penjualan pakaian dan aksesori fesyen yang meriah terutamanya menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri secara khususnya, dan pelbagai aktiviti perniagaan lain yang rancak sepanjang tahun secara umumnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

PUTRAJAYA, 23 APRIL 2021 – Perdana Menteri menyatakan salah satu kaedah untuk mempercepat pemulihan ekonomi adalah dengan menggunakan teknologi baru. Pandemik ini menunjukkan pentingnya peningkatan dan pengukuhan teknologi dan infrastruktur digital kita untuk memudahkan pengurusan kerja.

Ia juga telah menimbulkan rasa “urgency” atau pentingnya agenda kemasukan digital, untuk membolehkan berjuta-juta orang melakukan pekerjaan, menjalankan perniagaan, belajar dan berhubung secara digital.

Menurutnya, melalui pelan MyDigital dan Rangka Tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia pula, antara sasarannya ialah untuk memacu transformasi digital sektor awam. Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam yang celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025.

“Dalam memastikan kelancaran blueprint tersebut, pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21 bilion untuk lima tahun ke hadapan bagi melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi ini dengan mempercepat penyambungan digital negara melalui penyebaran akses mudah alih, akses fiber dan tanpa wayar, serta membuka jalan ke arah spektrum 5G.

Kita yakin ia akan mendorong penggunaan teknologi dan transformasi digital dengan lebih hebat lagi di dalam semua bentuk aktiviti harian,” ujarnya ketika menyampaikan amanat sempena lawatan kerja beliau ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disini hari ini.

Bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tersebut, kerjasama dari semua pihak adalah amat penting bagi memastikan ekonomi negara kita terus berada pada landasan yang tepat. Oleh yang demikian, Perdana Menteri berharap agar warga KPDNHEP akan terus memainkan peranan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri, terutamanya berkaitan dengan perdagangan pengedaran bagi memastikan program dan gerak kerja ekonomi negara supaya sentiasa lancar dan dapat dirancakkan.

“Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dalam lingkungan 6 hingga 7.5 peratus tahun ini. Pemulihan aktiviti domestik yang stabil, ditambah dengan peningkatan permintaan luaran, menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut,” tambahnya.

“Justeru, saya percaya bahawa saudara dan saudari mempunyai komitmen yang tinggi sebagai penjawat awam dalam membantu kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, dalam usaha untuk mengekang penularan wabak ini dan memastikan kelancaran aktiviti perekonomian. Ini termasuklah tugas saudara-saudari dalam memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan pengedaran, yang dapat dilihat terutamanya semasa tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula bulan Mac 2020,” katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kerana kementerian ini telah berjaya menangani situasi pembelian panik (panic buying) dan memastikan bekalan barangan keperluan asas, pelitup muka dan “hand sanitizer” adalah mencukupi sewaktu tempoh tersebut.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

PUTRAJAYA, 22 APRIL 2021 - Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui program turun padang bagi melakukan pemantauan secara harian pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di seluruh Negara untuk memastikan pematuhannya oleh peniaga.

Sejak pelaksanaan skim ini mulai 21 April 2021, sejumlah 2,073 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh Negara, merangkumi 52 premis (borong) dan 2,021 premis (peruncit).

Bercakap kepada media selepas melakukan tinjauan di MyFarm Outlet Putrajaya, Presint 7 dekat sini hari ini, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pada hari pertama kebanyakan peniaga didapati mematuhi pelaksanaan skim ini walaupun terdapat dua aduan yang diterima pihak penguat kuasa tentang peniaga yang tidak mematuhi arahan ini.

Aktiviti turun padang ini juga memberi mesej kepada rakyat tentang komitmen dan keprihatinan Kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

Namun katanya, KPDNHEP mengambil pendekatan berhemah dengan memberikan nasihat dan peringatan kepada peniaga supaya mematuhi pelaksanaan SHMMP sepanjang tempoh yang ditetapkan sebelum mengambil sebarang tindakan sekiranya masih ada lagi peniaga yang secara sengaja melanggar arahan ini.

Menurutnya lagi, pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 ini adalah secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 12 jenis barang. Sekiranya perlu, Kerajaan akan melaksanakan SHMMP HRP fasa kedua yang melibatkan pertambahan barang.

Beliau meningatkan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

“Berdasarkan pemantauan dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim ini telah berjalan dengan baik. Kementerian akan terus membuat penyebaran secara meluas bagi memberi kefahaman dan kesedaran awam mengenai pelaksanaan Skim ini,” tambahnya.

Untuk rekod, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 dilaksanakan selama 30 hari (selama 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 7 hari selepas hari perayaan) iaitu bermula pada 21 April sehingga 20 Mei 2021. Pelaksanaan adalah demi melindungi pengguna daripada perlakuan segelintir peniaga yang tidak beretika menaikkan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan HRP yang akan disambut pada 13 Mei 2021 di seluruh Negara.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

PUTRAJAYA, 19 APRIL 2021- Pengumuman Skim Harga Maksimum (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Seri Alexander Nanta Linggi hari ini mengurangkan kegelisahan pengguna yang sejak akhir-akhir ini bimbang dengan kenaikan barang-barang keperluan di pasaran.

Pengumuman sebanyak 12 barangan yang dijadikan kawalan dalam peringkat pertama ini menjurus kepada harga ayam yang dikhabarkan dijual dengan harga yang mencecah RM 10.00 sekilogram.

KPDNHEP melaksanakan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang akan disambut pada 13 Mei 2021 diseluruh negara. Pelaksanaan ini juga memberikan mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit bahawa Kerajaan mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu pada bila-bila masa boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.

Selain itu, pelaksanaan Skim ini juga akan memberi kesan kepada lain-lain barangan makanan sedia masak seperti nasi ayam, ayam golek, kuih muih dan lain-lain juadah berbuka puasa yang berasaskan ayam, telur ayam dan hasil laut.

Menurut Dato Sri Alexander, walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut Standard Operating Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa sebelum Ramadan dan menjelang perayaan. Tarikh kuat kuasa Skim ini adalah dari 21 April 2021 hingga 20 Mei 2021. Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Hari Raya Puasa adalah selama 30 hari iaitu selama 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 7 hari selepas hari perayaan. Ia dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya lagi, kementerian ini telah mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan skim ini. Ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal),daging lembu tempatan (*Harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja).

Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja),daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan WP Labuan sahaja), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga dan 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) dan Ikan aya/tongkol (berat antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kilogram).

Menurut Dato Sri Alexander, KPDNHEP akan mengumumkan beberapa tambahan barangan lagi dalam pelaksanaan skim bagi memastikan pihak pengguna dapat membuat persiapan menyambut Hari Raya Puasa dengan lancar.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak”.

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, Kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang mula kuatkuasa pada 6 Jun 2018.

Selain itu, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive