Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

RAKYAT DABONG MENSYUKURI NIKMAT PROGRAM COMMUNITY DRUMMING

KUALA KRAI, 6 MAC 2021 - Lawatan turun padang Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi  ke  daerah Dabong, Kuala Krai  hari ini bagi meninjau sendiri pelaksanaan projek printis berorientasikan rakyat Community Drumming di Semenanjung.

Program yang sebelum ini diperkenalkan di Sabah dan Sarawak bertujuan membolehkan barangan kawalan bersubsidi dijual di kawasan luar bandar dan pendalaman dengan harga yang sama (penyeragaman harga) dengan di bandar.

Melalui program ini, kerajaan menampung kos pengangkutan barangan tersebut dari bandar ke luar bandar atau pendalaman bagi membolehkan barangan kawalan seperti gula, tepung, minyak masak (paket), gas memasak (LPG) dan petrol RON 95 di jual dengan harga yang sama sebagaimana yang dinikmati pengguna di kawasan bandar atau sekitarnya.

Bagi beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan diatas program yang diperkenalkan ini bagi membolehkan mereka menikmati harga yang sama terutama bagi barangan keperluan asas.  

Penjualan petrol bagi harga yang sama juga disanjung tinggi dan bertepatan memandangkan permintaannya agak tinggi disamping kedudukan geografi kampung ini yang terpencil dan stesen minyak yang paling hampir terletak kira-kira 60 kilometer dari kampung mereka.

Mereka berharap agar barangan keperluan lain turut dijual dengan harga yang munasabah bagi membantu rakyat luar bandar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP.


PENGUATKUASAAN BARANG KAWALAN GAS MEMASAK

PUTRAJAYA, 3 MAC 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) konsisten dalam melaksanakan operasi berkaitan barang kawalan gas memasak/gas petroleum cecair (LPG) secara berterusan di seluruh Negara untuk memastikan peniaga mematuhi perundangan-perundangan khususnya harga jualan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Bagi tempoh 18 Feb 2020 hingga 1 Mac 2021, KPDNHEP telah menerima sejumlah 316 aduan dari pengguna berhubung aktiviti perniagaan barang kawalan LPG di seluruh Negara. Sehubungan itu, Kementerian telah mempertingkatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas peniaga dan pemborong barang kawalan LPG.

  Menurut Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini menyebut, sejumlah 60 kertas siasatan telah dibuka dan 43 kertas siasatan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang melibatkan kesalahan tiada tanda harga (35 kes) dan menjual melebihi harga kawalan (8 kes).

Tujuh kertas siasatan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan kesalahan tiada lesen barang kawalan (7 kes), tidak kemaskini buku stok (4 kes), tidak perbaharui lesen (2 kes), memiliki melebihi had (1 kes), alih barang kawalan dari premis yang dilesenkan (1), menjual dan membeli barang kawalan kepada orang yang tidak punya lesen masing-masing dengan 1 kes. Sebanyak 1,000 premis diperiksa dengan menghasilkan jumlah sitaan sebanyak RM 35373.00 serta jumlah kompaun sebanyak RM 22,000.00

  Katanya, antara objektif utama operasi ini adalah bagi memastikan bekalan barang kawalan tersebut mencukupi di pasaran dan harga stabil sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan. Penguatkuasaan digerakkan ke seluruh Negara melalui pelbagai bentuk tindakan seperti melakukan pemeriksaan mengejut dan uji beli (test purchase) oleh Pegawai Penguatkuasa di premis yang diperiksa.

“Tujuan pemeriksaan ini bertujuan memastikan peniaga meletakkan tanda harga mengikut harga kawalan yang telah ditetapkan pada barang kawalan LPG yang hendak dijual, memastikan peniaga menjual barang kawalan LPG mengikut harga yang ditetapkan oleh Kerajaan, memastikan peniaga menyata dengan jelas dalam meletakkan caj bagi perkhidmatan penghantaran barang kawalan LPG  kepada pengguna; dan lain-lain tindakan termasuk peniaga mempunyai lesen menjual barang kawalan LPG, menyimpan barang kawalan LPG mengikut had ditetapkan oleh Kerajaan dan menyelenggara buku stok,” tegasnya.  

Beliau berharap agar pengguna dapat menyalurkan maklumat aduan berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang termasuk berkaitan barang kawalan LPG secara rasmi melalui saluran aduan yang disediakan oleh pihak Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


KPDNHEP SAMPAIKAN BANTUAN CSR SYARIKAT

PETALING JAYA, 25 FEBRUARI 2021 – Satu lawatan pemeriksaan kolaborasi bersama FAMA telah diadakan pada hari ini untuk meninjau aktiviti urus niaga peniaga buah durian di sekitar Seksyen 2 Petaling Jaya.

Lawatan pemeriksaan yang diketuai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Haji Rosol Wahid bertujuan untuk memeriksa pematuhan peniaga-peniaga buah durian di lokasi lawatan berdasarkan elemen-elemen yang telah ditentukan dalam OPS DURI 2.0 iaitu meletakkan tanda harga dengan jelas, mempamerkan jenis durian, menggunakan alat timbang yang sesuai, memastikan alat timbang masih dalam tempoh tentusah serta mematuhi sepenuhnya SOP Perdagangan Pengedaran seperti yang telah ditetapkan

OPS DURI 2.0 berkuatkuasa dari 22 Februari sehingga 22 Mac 2021 dan telah dilaksanakan oleh KPDNHEP Negeri dan Cawangan. Ia diperkasakan atas dasar melindungi pengguna dan meningkatkan etika peniaga. OPS DURI 2.0 melibatkan tindakan pemeriksaan ke atas semua peniaga buah durian dari aspek pematuhan tanda harga serta alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perdagangan di samping pematuhan terhadap SOP Perdagangan Pengedaran dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Dato’ Haji Rosol, peniaga buah durian di bawah pelaksanaan OPS DURI 2.0 tertakluk di bawah peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972) dan sekiranya peniaga melakukan kesalahan, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas peniaga.

“Sejak pelaksanaan OPS DURI 2.0 dari 22 Februari sehingga 24 Februari 2021, sejumlah 311 pemeriksaan telah dibuat dengan menghasilkan 14 kes (9 kes di bawah AKHAP 2011 dan lima kes di bawah ATS 1972) dan nilai kompaun sejumlah RM2, 600.00. Untuk rekod, pencapaian OPS DURI 1.0 telah melaksanakan sejumlah 1, 252 pemeriksaan dan telah menghasilkan 38 kes dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM13, 900.00,” ujarnya pada sesi sidang medianya selepas itu.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


KPDNHEP SAMPAIKAN BANTUAN CSR SYARIKAT

PETALING JAYA, 25 FEBRUARI 2021 – Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera mengambil inisiatif untuk mengemukakan isu permohonan pengusaha katering dan pengurus majlis perkahwinan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kedua-dua sektor ini kembali beroperasi setelah terhenti ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Haji Rosol Wahid berkata, pihaknya juga mendengar rintihan dan rayuan beberapa sektor lain untuk kembali menjalankan perniagaan mereka.

“Kementerian akan membawa isu ini kepada MKN supaya ianya diberikan pertimbangan dan boleh kembali beroperasi akibat terkesan daripada wabak ini. Misalnya industri katering boleh dibuka semula dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat agar ianya terpelihara dari ancaman wabak ini.

Begitu juga dengan pengurusan perkahwinan, ia perlu diadakan di tempat yang dikhaskan atau dewan bagi membolehkan kita mengawal jumlah kehadiran tetamu dan saiz majlis mengikut SOP yang ditetapkan,” ujarnya selepas melakukan pemeriksaan pematuhan Prosedur Pengoperasian Standard (SOP) Sektor Perdagangan Pengedaran bagi premis restoran dan kedai makan di Petaling Jaya hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj Ahmad, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam dan barisan kepimpinan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

Beliau juga melahirkan rasa simpati apabila dimaklumkan bahawa sebanyak 250 restoran yang bernaung di bawah PRESMA terpaksa gulung tikar kerana terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

Dato’ Haji Rosol juga akan membawa isu yang dihadapi oleh pengusaha –pengusaha Restoran India ke pengetahuan Kementerian Dalam Negeri dan MKN yang masih menunggu status pekerja-pekerja dari negara berkenaan yang tidak dapat masuk ke negara ini setelah semua urusan berkaitan dipenuhi sehingga ada yang terjejas peniagaan mereka kerana kekurangan tenaga kerja.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive