KUALA LUMPUR, 28 JANUARI 2021 – Sebanyak 130 premis telah diperiksa yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi sempena pelaksanaan Ops Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik dan Komunikasi) sejak 25 Januari baru-baru ini.
Hasil pemantauan tersebut juga, sebanyak 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
Demikian menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP, Dato’ Haji Rosol Wahid ketika diminta mengulas mengenai hasil lawatan pemantauannya ke Plaza Low Yatt di ibu negara hari ini.
Katanya, KPDNHEP mengambil maklum tentang pelajar-pelajar sekolah yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara atas talian semasa musim PKP dan keperluan terhadap perkakasan komputer, mesin cetak dan aksesorinya serta kelengkapan komunikasi.
“Ini akan meningkatkan permintaan yang tinggi terhadap barang keperluan tersebut. Sebagai langkah proaktif, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah melancarkan OPS CATUT 8.0 yang mana ianya merupakan satu arahan pemantauan terhadap harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet, “ ujarnya.
Lawatan ini turut disertai Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Shamsuddin.
“Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, maka ianya merupakan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011,” tambahnya.
Pemantauan ini akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 25 Januari 2021 dan mana-mana peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan. Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi S.21(5), AKHAP 2011 tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi seratus ribu ringgit.
KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik. Mana-mana peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan diambil tindakan yang tegas di bawah S.14(1), AKHAP 2011.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP