Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

lawatan kerja ketua setiausaha kpdnhep ke negeri sarawak

SERIKIN,23 OKTOBER 2022,AHAD – YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneruskan lawatan kerja hari kedua dengan mengadakan lawatan ke Pos Kawalan Sempadan Serikin, Bau, Sarawak.

Menurut beliau, lawatan ini bertujuan untuk meninjau situasi semasa sempadan Malaysia - Indonesia di Serikin, Bau, Sarawak susulan pembukaan semula Pos Kawalan Sempadan Serikin bagi merancakkan kembali aktiviti perdagangan antara kedua - dua Negara, Malaysia – Indonesia selaras dengan pembukaan semula Pasar Serikin.

Selain itu, tujuan lawatan ini juga antara lain adalah bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak KPDNHEP dengan lain-lain agensi penguatkuasaan yang mengawal sempadan di kawasan ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak (MKN).

Dalam lawatan ini, antara isu yang diberi tumpuan adalah berkaitan mekanisme untuk membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan/bersubsidi melalui sempadan Serikin, Malaysia ke Indonesia seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, petrol, diesel, gula dan tepung gandum dengan lebih berkesan.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNKSH pada tahun 2022 bermula 1 Januari 2022 sehingga 30 September 2022 sebanyak 427 kes penyeludupan barang kawalan/bersubsidi di pintu-pintu sempadan Negara di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah berjaya dipatahkan di seluruh Negara melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 69.74 juta.

Seterusnya, Kementerian akan terus mengadakan jaringan serta memperkukuhkan kerjasama dengan lain-lain agensi penguatkuasaan bagi mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di sempadan Negara bagi mengatasi isu penyeludupan barangan kawalan/bersubsidi daripada terus berleluasa menerusi operasi bersepadu serta tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


penguat kuasa kpdnhep menyerbu sebuah premis yang menjual alat peranti teknologi penstriman

PUTRAJAYA, 19 Oktober 2022 -  Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerbu sebuah premis perniagaan yang terletak di Jalan Mutiara, Skudai, Johor yang menjual alat teknologi penstriman (android box).

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Tuan Azman bin Adam, serbuan dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNKSH selama beberapa hari sebelum tindakan.

Hasil pemeriksaan, pihak KPDNHEP telah merampas 600 unit alat teknologi penstriman pelbagai jenama berserta dokumen yang berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 404,500.00. Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu, wanita warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit untuk siasatan lanjut.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. Pihak KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu. Ia memberi penekanan dalam usaha pihak Kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan.

Tambahnya lagi, pihak Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini yang mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya tanpa kebenaran. Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara yang berkaitan boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


pengumuman pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan deepavali 2022

PUTRAJAYA, 17 Oktober 2022 - Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 yang akan dikuatkuasakan dari 20 Oktober 2022 hingga 26 Oktober 2022. Tempoh pelaksanaan adalah selama 7 hari dan berkuat kuasa pada 4 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan. 

Menurut Datuk Azman bin Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ayam dan telur ayam telah disambung pewartaannya sebagai barangan harga terkawal dan sedang berkuat kuasa mulai 12 Oktober 2022.

Sebanyak 8 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022.  Pengguna boleh melakukan semakan harga boleh dibuat melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di https://www.kpdnhep.gov.my.

Tambahnya lagi, tempoh pelaksanaan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa pada masa kini, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh masa pelaksanaan yang effektif. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Akhir sekali, sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


majlis perasmian program hari industri jualan langsung malaysia peringkat negeri melaka tahun 2022 di mahkota parade

MELAKA, 15 Oktober 2022 – Telah berlangsung Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia Peringkat Negeri Melaka di Mahkota Parade, Melaka yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Ini merupakan kerjasama - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan Malaysian Direct Distribution Association (MDDA).

Sebanyak 22 syarikat jualan langsung yang berdaftar dengan KPDNHEP, menyertai program ini. Jualan Langsung adalah merupakan perniagaan yang berkonsepkan jualan dari pintu ke pintu, jualan secara pesanan pos atau mel melalui katalog atau melalui transaksi elektronik. Terdapat tiga (3) jenis pelan pemasaran perniagaan jualan langsung yang ditetapkan iaitu Single Level Marketing (SLM), Multilevel Marketing (MLM), Pesanan Pos atau Mel (Mail Order).

Untuk makluman, setakat 1 Oktober 2022, terdapat sebanyak 398 Lesen Jualan Langsung yang telah diluluskan dan masih sah untuk syarikat-syarikat menjalankan operasi perniagaan yang berkonsepkan dan bercirikan Jualan Langsung. 6 daripada jumlah tersebut adalah syarikat yang berdaftar di Negeri Melaka. 

Pencapaian nilai jualan industri Jualan Langsung bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM25.7 bilion, peningkatan sebanyak 43.6% dari tahun sebelumnya (RM17.9 bilion tahun 2019).  Melalui laporan yang dikeluarkan oleh World Federation of Direct Selling Association (WFDSA) industri jualan langsung di Malaysia yang telah berjaya mencapai kedudukan no. 6 di dunia (berbanding no. 7 sebelum ini) dan no. 4 di rantau Asia Pasifik bagi hasil jualan langsung untuk tahun 2021.

Ini memperlihatkan juga bahawa industri Jualan Langsung merupakan salah satu bidang tumpuan yang berupaya menyumbang dalam mengukuhkan ekonomi negara, selain kepentingannya dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan (termasuk pendapatan tambahan) serta peluang perniagaan kepada masyarakat.

Namun, KPDNHEP memandang serius terhadap aduan-aduan yang diterima melibatkan pelanggaran dan ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dan peraturan di bawah Akta 500. Kementerian di bawah Bahagian Penguatkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal untuk mematuhi peruntukan undang-undang tersebut serta tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen Jualan Langsung syarikat.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive