Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini diberi pengiktirafan secara rasmi sebagai agensi kerajaan pertama yang melaksanakan perkhidmatan Digital CTC di negara ini oleh Malaysia Book Of Records (MBR).

Pengiktirafan ini diumumkan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin sempena sambutan Hari Raya SSM di ibu negara pagi tadi.

Pengumuman ini turut disertai Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari serta disaksikan Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK merangkap Pengerusi SSM, Dato’ Sri Jamil Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Dato’ Zahrah Abd Wahab Fenner serta beberapa tetamu jemputan lain.

Digital CTC merupakan transformasi perkhidmatan pengesahan dokumen secara manual kepada digital melalui gabungan teknologi pengimejan dokumen berkanun, tandatangan digital, date line stamping dan Quick Response Code (QR Code) dengan menampilkan ciri-ciri keselamatan.

SSM menawarkan produk digital CTC kepada pelanggan bagi Salinan imej dokumen yang diserah simpan oleh pelanggan di SSM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan SSM dan pihak berkuasa pemerakuan berlesen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) di bawah Akta tandatangan Digital 1997.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


MELAKA, 14 JULAI 2017 – Program Ekspresi Negaraku bersambung selepas berehat seketika bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Raya dengan menjelejah ke Melaka hari ini untuk mempamerkan kepada masyarakat setempat tentang program dan
aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Program mini ini diadakan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah. Program sehari ini dihadiri lebih 6,000 pengunjung bermula dengan larian Negaraku kira-kira lima kilometer dan berakhir dengan konsert Ekspresi Negaraku.
Program kali keenam dalam penjelajahan ke seluruh negara ini disertai Kementerian, Jabatan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta itu membolehkan orang ramai mendapat insprasi dan pengalaman yang mengujakan dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
Ikon-ikon kelahiran negeri Melaka seperti bekas kapten bolasepak negara, Datuk Soh Chin Aun, penyanyi, Ziana Zain dan pengarah, pelakon serta usahawan, Dato’ Rosyam Noor turut dibawa untruk berkongsi pengalaman tentang kejayaan mereka.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) membawa semua agensi dan bahagian-bahagian terpilih di kementerian ini untuk memberi perkhidmatan dan berkongsi maklumat dengan pengunjung. Pendaftaran “Friends Of KPDNKK” dengan menawarkan kad diskaun / kad pengguna mendapat sambutan baik dari orang ramai.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


PUTRAJAYA, 20 JUN 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperkasa Friends Of KPDNKK (FOK) bagi terus melindungi hak dan kepentingan pengguna.
Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan menjadikan FOK sebagai satu badan bukan kerajaan (NGO) supaya mereka dapat merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk ahlinya di seluruh negara.
“Kita telah melantik Pegawai-pegawai Penyelaras Parlimen (PPP) dan skop serta tanggungjawab mereka telah diperincikan supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan untuk menambah jumlah keahlian dan melindungi hak-hak pengguna. Surat pelantikan akan dikeluarkan dalam masa terdekat supaya PPP ini dapat mengisi jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk di peringkat daerah, negeri mahupun di peringkat pusat.
“Saya difahamkan peniaga mula sedar akan kewujudan serta peranan yang boleh dimainkan FOK bagi membendung kegiatan peniaga-peniaga yang tidak beretika dari terus merampas hak dan kepentingan pengguna,” ujarnya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan KPDNKK di Dewan Serbaguna KPDNKK di sini petang tadi.
Katanya, usaha dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai pengguna menyertai FOK supaya suara dan aduan mereka dapat didengari pihak atasan.
Untuk rekod, KPDNKK menyasar untuk mendaftar seramai 800,000 ahli menjelang akhir tahun ini menerusi pelbagai pendekatan dan lokasi.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


KUALA LUMPUR, 20 JUN 2017 – Tiada khabar yang paling menggembirakan golongan asnaf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak dekat sini selain menerima sedikit sumbangan terutama menjelang Aidilfitri ini.
Kegembiraan di wajah 124 keluarga asnaf yang terdiri daripada penduduk miskin, orang kelainan upaya serta anak-anak yatim terpapar apabila masing-masing menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian, beras dan duit raya daripada isteri Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datin Seri Norashikin Dato’ Abdul Ghani dalam satu majlis yang diadakan di surau Al-Hijrah di sini pagi ini.
Program Tanggungawab Sosial (CSR) Puspanita Cawangan KPDNKK dan Angkatan Belia Islam (ABIM) ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pengurusan surau berkenaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR ini.
PPR Taman Mulia mempunyai dua blok yang mengandungi hampir 150 unit rumah. Ia didiami kira –kira 200 keluarga yang majoritinya orang Melayu.
Datin Seri Norashikin diiringi Jawatankuasa Puspanita KPDNKK yang diketuai Pengerusinya, Datin Sri Dr. Asmah Samat kemudian mengadakan kunjungan dan ziarah ke atas dua pesakit yang terlantar di rumah dan menghulurkan sumbangan serta duit raya.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive