Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
BAHAGIAN PENGUATKUASA PERKENAL SOP PENGURUSAN ADUAN DALAM TALIAN

BAHAGIAN PENGUATKUASA PERKENAL SOP PENGURUSAN ADUAN DALAM TALIAN 1024x682 min

PUTRAJAYA, 9 DISEMBER 2019 – Aduan berkaitan transaksi dalam talian merupakan aduan kedua tertinggi diterima di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna (KPDNHEP)  dengan merekodkan sebanyak 4,993 merangkumi 24.73% daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima sehingga 7 Disember 2019.

Antara kesalahan dalam talian yang disiasat oleh Bahagian Penguat Kuasa adalah seperti penipuan pembelian barang atau perkhidmatan; mengedar dan menyalin karya atau perisian secara tidah sah; pengiklanan yang mengelirukan dan juga kesalahan melibatkan jualan langsung dan skim piramid.

Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, Bahagian Penguat Kuasa berhasrat menguatkuasakan undang-undang untuk mewujudkan peniaga beretika dan melindungi pengguna dengan memperkenalkan  Prosedur Operasi Standard Penguatkuasaan melibatkan Transaksi Dalam Talian.

Prosedur Operasi Standard Penguatkuasaan melibatkan Transaksi Dalam Talian ini bertujuan untuk menyeragamkan prosedur penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP seluruh negara untuk menyelesaikan aduan dan kertas siasatan yang melibatkan transaksi dalam talian seperti penipuan jualan, penipuan transaksi kewangan, pelaburan dan pelanggaran hak harta intelek yang berlaku dalam tapak pasar dalam talian (online marketplace); media sosial; dan juga laman sesawang.

Majlis pelancaran Prosedur Operasi Standard Penguatkuasaan ini dilancarkan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada perhimpunan bulan Disember kementerian ini di sini, hari ini.

Terdapat 17 kesalahan yang berpotensi telah dikenal pasti melibatkan transaksi dalam talian di bawah 5 Akta yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Penguat Kuasa iaitu; 7 kesalahan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999, 2 kesalahan di bawah Akta Hakcipta 1987, 5 kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, 2 kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung Dan Skim Antipiramid 1993 dan 1 kesalahan di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

Katanya, Prosedur Operasi Standard ini diharap dapat menggalakkan amalan baik dan beretika dalam kalangan peniaga dalam talian serta pada masa yang sama akan memberi pengetahuan dan kesedaran kepada pengguna berkaitan tindakan yang perlu diambil untuk membantu Bahagian Penguat Kuasa dalam menjalankan penguatkuasaan dan siasatan kes yang melibatkan transaksi dalam talian.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


SENTIASA PATUHI KOD ETIKA INDUSTRI

image

PUTRAJAYA, 4 DISEMBER 2019 – Syarikat – syarikat yang menjalankan perniagaan adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Dr. Alauddin Sidal berkata, syarikat perlu memahami dan mempraktikkan kod etika industri yang menitikberatkan integriti dalam semua bentuk perniagaan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengawal selia industri jualan langsung dan industri perdagangan pengedaran melalui pengurusan pengeluaran lesen jualan langsung serta kelulusan penyertaan asing dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia.

“Tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa perniagaan jualan langsung melainkan jika ia suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 (Akta Syarikat 2016) dan memegang lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 6 AJLSAP 1993,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan Lesen WRT dan Jualan langsung di Rumah Kelab kementerian ini, hari ini.

Sebanyak empat kelulusan perdagangan pengedaran (WRT) dan 47  lesen jualan langsung diserahkan kepada pemohon hari ini. Sehingga kini, KPDNHEP telah mengeluarkan sebanyak 419 lesen jualan langsung dan jumlah ini masih dianggap kecil kerana kementerian mengutamakan kualiti barangan yang dihasilkan serta perkhidmatan yang ditawarkan.

Dr. Alauddin berharap agar kedua-dua indstri ini akan terus berkembang positif dan mempunyai masa depan yang cerah di samping mampu memberi peluang perniagaan kepada masyarakat.

KPDNHEP katanya, sentiasa menggalakkan usaha-usaha dan inisiatif yang positif dan proaktif dalam arus pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika di samping melindungi kepentingan pengguna.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


PENJAJA DAN PENIAGA KECIL BANTU LONJAKKAN EKONOMI NEGARA

image

ALOR SETAR, 30 NOVEMBER 2019 – Penjaja dan peniaga kecil tentunya memainkan peranan yang besar dalam ekonomi Malaysia Baharu, yang mendukung pendekatan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Melalui falsafah ini, kita dapat melihat beberapa perubahan dilakukan demi memperkasakan golongan penjaja dan peniaga kecil dalam arus kemajuan ekonomi negara.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau yakin bahawa tiap seorang yang dikenali sebagai penjaja dan peniaga kecil sekarang, sebenarnya adalah pedagang yang berhasrat untuk memperbaiki dan membesarkan lagi perniagaan mereka.

Katanya, malah ada produk atau perkhidmatan sudah boleh didapati dalam talian dan dihantar terus kepada pelanggan.

“Tidaklah mustahil jika perniagaan kecil sekarang ini menjadi lebih besar ataupun lebih teratur dan menarik. Justeru, hashtag #mulanyadisini dipilih, kerana saya percaya majoriti perniagaan besar sekarang ini bermula secara kecil-kecilan,” ujarnya ketika merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK)  2019 di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar di sini, hari ini.

Ujarnya, masyarakat Malaysia semakin maju. Citarasa juga telah berubah. Hari ini mereka bukan sahaja ingin membeli barangan yang mereka suka dalam apa jua keadaan, tetapi ingin khidmat pelanggan yang baik; baik daripada segi hiasan, layanan dan kualiti.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk mengawal selia industri penjaja dan peniaga kecil. Sehubungan itu, pelbagai program dirancang untuk membantu meningkatkan kemajuan perniagaan penjaja dan peniaga kecil.

Program-program yang telah dirancang adalah merangkumi latihan peningkatan, pengukuhan dan pemantapan dalam usaha mentransformasi minda, bentuk dan sistem perniagaan penjaja dan peniaga kecil sedia ada,” tegasnya.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Datuk Muez Abd Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdangangan Dalam Negeri) KPDNHEP dan pegawai-pegawai tinggi kementerian di semua peringkat.

Dato’ Seri Mukhriz juga melihat bahawa industri penjaja dan peniaga kecil terbukti berkesan untuk membangunkan sosio ekonomi masyarakat, di samping meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Industri ini juga akan menjadi daya tarikan serta sokongan kepada industri pelancongan.

Para pelancong luar sentiasa tertarik dan kagum dengan budaya serta warisan masyarakat negara ini. Beliau mengajak persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil memainkan peranan besar dalam membantu meningkatkan lagi disiplin para penjaja dan peniaga kecil kerana disiplinlah yang akan menentukan maju atau mundurnya diri seseorang.

Katanya, Persatuan-persatuan hendaklah berusaha lebih giat lagi dengan mengadakan aktiviti-aktiviti dan program-program yang menjurus ke arah pembentukan generasi penjaja dan peniaga kecil yang berdaya saing dan beretika. Seboleh-bolehnya setiap ahli persatuan hendaklah dipastikan menyertai aktiviti dan program yang diadakan.

“Usaha-usaha yang berterusan hendaklah dilakukan supaya setiap penjaja dan peniaga kecil yang ada di negara ini mendaftarkan diri menjadi ahli persatuan di peringkat tempatan dan seterusnya di peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat  KPDNHEP


HARI PENJAJA DAN PENIAGA KECIL ANGKAT MARTABAT PENIAGA

image

ALOR SETAR, 30 NOVEMBER 2019 – Penjaja dan Peniaga Kecil Pemacu Kemakmuran Negara dipilih sebagai tema sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2019 (HPPK 2019) yang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, mulai 28 yang berakhir hari ini.

Tema ini ingin mengangkat dan mengetengahkan komuniti peniaga khususnya institusi penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan dalam usaha kerajaan untuk sama-sama memacu kemakmuran negara dengan kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Penganjuran ini selaras dengan pengisytiharan 18 November sebagai Hari Penjaja dan Peniaga Kecil untuk menghargai jasa dan sumbangan industri penjaja dan peniaga kecil kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Sambutan ini bertujuan agar peniaga mengetahui dan mengikut kehendak pembeli, pelanggan dan negara sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi. Ini termasuklah advokasi terhadap etika perniagaan, mengaturkan business matching, pendedahan kepada penggunaan teknologi terkini seperti urusan tanpa tunai, Internet of Things (IoT) dan penghantaran makanan dan barangan dalam talian.

Usaha ini juga selaras dengan peranan Kerajaan dan agensi-agensinya sebagai peneraju dan pemudahcara di dalam bidang pengedaran dan perdagangan dalam negeri. Pelaksanaan HPPK 2019 juga telah dilaksanakan di peringkat zon selari dengan hasrat dan wawasan Kerajaan di bawah inisiatif “Wawasan Kemakmuran Bersama” 2030.

Penganjuran HPPK 2019 diserikan dengan penganjuran Food Truck Biz Challenge (FTX).  Program FTX ini telah diadakan di setiap zon yang terlibat dan tiga finalis/pemenang utama setiap zon. Pemenang FTX bagi setiap zon pula akan bertanding di peringkat kebangsaan sebagai acara kemuncak Sambutan HPPK 2019.

Hashtag #mulanyadisini dipilih, kerana perniagaan besar sekarang ini mulanya dengan penjaja dan peniaga kecil.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive