Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
PROGRAM PENGEDARAN BARANG PERLU, LPG DAN COMMUNITY DRUMMING DI PULAU TUBA

pengedaran

PULAU TUBA, 9 SEPTEMBER 2024, ISNIN - YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan tinjauan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Pulau Tuba, Kedah.

Program ini melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat-syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan yang terpilih daripada pusat/sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale) di kawasan pedalaman dan pulau.

Objektif program ini adalah untuk memastikan para penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga yang sama yang dinikmati oleh para penduduk di kawasan lain. Pada masa yang sama, program ini juga dapat membantu mewujudkan kestabilan bekalan barang perlu dan kawalan di kawasan pedalaman.

Melalui program ini, kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih dibiayai oleh kerajaan. Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel.

Dalam masa yang sama, YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban turut  meluangkan masa turun padang melakukan sesi pemantauan dan pemeriksaan ke Syarikat Langkawi Borong Edar di Langkawi bagi melihat sendiri proses pembungkusan minyak masak paket bersubsidi di premis tersebut.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


HARI KEBANGSAAN 2024

PUTRAJAYA, 31 OGOS 2024, SABTU - Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 disifatkan antara sambutan yang cukup meriah dan luar biasa, memperlihatkan perpaduan kaum di negara ini.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, acara sambutan Hari Kebangsaan 2024 mengetengahkan konsep kebersamaan rakyat yang terdiri daripada seganap lapisan masyarakat selari dengan rasional tema tahun ini, iaitu perlambangan kesepaduan secara holistik negara yang maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya.

Kontinjen Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kekuatan seramai 200 Pegawai Penguat Kuasa turut mengambil bahagian dalam acara perbarisan dan perarakan sekaligus cerminan kepada seluruh warga kerja KPDN akan semangat cintakan negara.

Pelbagai acara menarik disajikan buat pengunjung yang hadir antaranya perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI BERSAMA PENGUAT

PUTRAJAYA, 23 OGOS 2024, JUMAAT - Kementerian Perdagangan  Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menganjurkan Majlis Amanat YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri bersama penguat kuasa KPDN dan Peluncuran Portal Ihsan MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan kos Sara Hidup dalam ucaptamanya menzahirkan ucapan tahniah di atas kelancaran pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Penguat Kuasa KPDN kerana pertemuan khas kali ini sangat bermakna kerana sejak Bahagian Penguat kuasa diwujudkan pada tahun 1972, inilah julung kalinya Perdana Menteri hadir dalam satu majlis khas bersama jentera penguat kuasa KPDN.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


MAJLIS PERSARAAN KPDN TAHUN 2024

SANJUNGAN BUDI, KILAUAN BAKTI

PUTRAJAYA, 22 OGOS 2024, KHAMIS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menganjurkan Majlis Persaraan KPDN Tahun 2024. Bertemakan ‘Sanjungan Budi, Kilauan Bakti’, majlis ini dianjurkan bagi meraikan 45 orang pegawai KPDN yang telah dan akan bersara di tahun 2024. Sesungguhnya, jasa dan sumbangan para pesara yang terlibat adalah amat besar sepanjang keberadaan dalam perkhidmatan awam.

 YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyampaikan ucaptama seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan di atas jasa dan khidmat bakti yang telah ditabur oleh 45 orang pagawai KPDN. Melalui ucaptamanya, komitmen dan kesungguhan para pesara ini sewajarnya dicontohi dan diteruskan oleh mereka yang masih berada dalam perkhidmatan sebagai jentera penting Kerajaan. Tumpuan harus diberikan untuk sentiasa mencari ruang penambahbaikan sistem penyampaian Kerajaan demi memberikan perkhidmatan sehabis baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive