
PUTRAJAYA, 11 JANUARI 2024 – Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan sebanyak 12 Akta melibatkan kawalan harga dan antipencatutan, kawalan bekalan barangan bersubsidi dan barangan perlu, perlindungan pengguna, perlindungan harta intelek dan perdagangan domestik. KPDN turut menguatkuasakan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
Modus operandi yang sering digunakan oleh peniaga bagi mengubah wang haram adalah melalui beberapa kaedah. Pertamanya menerusi secara langsung iaitu memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah. Keduanya secara penstrukturan iaitu dengan memasukkan ke dalam akaun perniagaan-perniagaan atau individu lain, mewujudkan shell company, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain. Ketiganya adalah menerusi ‘hawala’ iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang melibatkan rentas sempadan.
Sepanjang tahun 2023, Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah menjalankan beberapa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha pencegahan jenayah kewangan ini. Kerjasama tersebut termasuklah perkongsian maklumat risikan, latihan dan operasi. Bagi kerjasama sepanjang tahun 2023 melibatkan operasi, terdapat beberapa operasi bersepadu yang berjaya dijalankan antaranya adalah OPS REWARD iaitu Operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti skim piramid dan pelbagai kesalahan lain dijalankan melibatkan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC). Operasi ini turut dibantu oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman dan CyberSecurity Malaysia (CSM) di sekitar Pulau Pinang dan Kedah. Selain itu, OPS TIRIS Operasi yang dimulakan pada 1 Mac hingga 31 Disember 2023 sebagai usaha untuk membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang telah menyebabkan kerugian kepada pihak Kerajaan dan memastikan bekalan minyak diesel bersubsidi sampai kepada pihak yang layak. Operasi ini melibatkan banyak agensi penguatkuasaan lain termasuklah PDRM, APMM, ATM, LHDN, NFCC dan lain-lain. Bagi OPS PHARMA pula melibatkan Operasi bersepadu yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Oleh : Unit Komunikasi Korporat