Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
SESI PENYERAHAN SUMBANGAN DANA KORPORAT TNG eWALLET UNTUK MANGSA BANJIR DI JOHOR

PUTRAJAYA, 26 MAC 2025, RABU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menerima sumbangan dana sebanyak RM21,000.00 daripada TNG Digital Sdn. Bhd. Sumbangan diterima melalui YBhg. Dato’ Seri Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN bagi tujuan bantuan pasca banjir di negeri Johor menerusi Program Food Bank Malaysia (PFBM).

Sumbangan ini merupakan hasil kutipan melalui platform Touch ’n Go eWallet bermula 18 Disember 2024, hasil kerjasama strategik antara TNG Digital dan KPDN menerusi Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), sebagai usaha meringankan beban mangsa banjir yang terkesan.

Inisiatif ini turut menyasarkan lebih 28 juta pengguna eWallet di seluruh negara sebagai salah satu bentuk solidariti rakyat Malaysia membantu rakyat Malaysia.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN DAN PROGRAM IHYA' RAMADAN 1446H

PUTRAJAYA, 25 MAC 2025 – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyempurnakan majlis Perhimpunan Bulanan & Program Ihya’ Ramadan 1446H bertempat di Dewan Serbaguna, KPDN Putrajaya.

YB Menteri turut menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat SSM berupa 34 unit mesin dialisis bernilai RM1.3 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur).

Dalam majlis yang sama, SSM turut menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM15,000 kepada Masjid Al-Islamiah Kg Lindungan, Surau Al Taqwa dan Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin bagi tujuan menaik taraf infrastruktur dan fasiliti. Selain itu, sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM17,900 turut diberikan kepada 44 penerima dalam kalangan anak-anak warga KPDN yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Turut hadir YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Dato’ Haji Amran Haji Ahmad TKSU PPP, YBhg. Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pengarah-pengarah bahagian dan agensi serta pegawai-pegawai Kanan Kementerian.

 

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


PROGRAM MEMASAK DAN AGIHAN BUBUR LAMBUK MERAIKAN BULAN RAMADAN AL-MUBARAK 2025/1446

PUTRAJAYA, 20 MAC 2025, KHAMIS – YBhg. Dato’ Hj Amran bin Hj Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan KPDN telah hadir ke Program Memasak & Agihan Bubur Lambuk KPDN 1445H/2024M anjuran Surau At-Tijarah KPDN, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Badan Kebajikan Dan Sukan Kementerian (BKSK) dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang bertempat di Ruang Legar Anjung Seri, KPDN.

Program ini juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga Kementerian yang turut serta dalam menyediakan serta mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan dan orang ramai. Aktiviti ini bukan sahaja menghidupkan amalan bersedekah sempena bulan Ramadan Al-Mubarak, malah mengeratkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga KPDN.

Semoga program seperti ini terus menjadi tradisi tahunan yang menyuburkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Ramadan yang penuh keberkatan.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PELAKSANAAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN HARI RAYA PUASA 2025

PUTRAJAYA, 19 MAC 2025, RABU – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2024 yang akan berkuat kuasa pada 24 Mac hingga 7 April 2025.

Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu 7 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 7 hari selepas perayaan. Sebanyak 26 jenis dengan penambahan sebanyak empat jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 ini.

Skim harga ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive