Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PUTRAJAYA, 27 NOVEMBER 2021  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terhadap kenaikan harga sayur yang mengelirukan.

Menteri PDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kenyataan yang dibuat berdasarkan pemantauan di empat buah pasar awam di Pulau Pinang itu tidak wajar diterbitkan secara umum dan telah menimbulkan persepsi yang tidak tepat serta keresahan di kalangan pengguna.

Pihak Kementerian berharap agar dapatan serta hasil kajian berkenaan harga barang keperluan dapat dibincangkan terlebih dahulu dengan Kementerian agar data-data tersebut dapat dirujuk-silang dengan data yang dikumpulkan secara harian di lebih dari 1,500 premis sebelum ianya diterbitkan menjadi sesuatu yang bermakna kepada negara dan pengguna Malaysia.

Pemantauan yang dijalankan oleh KPDNHEP mendapati kebanyakkan harga sayur masih dalam keadaan yang terkawal. Hasil pemeriksaan juga mendapati pembukaan semula semua sektor ekonomi ini menyebabkan berlaku pemrintaan yang sangat tinggi secara mendadak.

Tambahnya lagi, kenaikan harga sayur keluaran tempatan dikesan berlaku di beberapa tempat dan berpunca daripada faktor cuaca, logistik dan peningkatan kos baja dan racun. Isu-isu seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta kawasan tanaman sayur sekitarnya didapati turut menjejaskan rantaian pengedaran, terutama bagi sayur-sayur dari tanah tinggi tersebut.

Selain itu, turut berlaku kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan secara maksimum yang telah menyebakan kekurangan bekalan dan seterunya menjadi penyumbang kepada punca kenaikkan harga sayur-sayuran di pasaran.

Bagaimanapun, sebagai langkah untuk menangani isu ini, KPDNHEP serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menubuhkan Jawatankuasa bersama serta mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan pemain industri bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung isu ini, katanya.

Melalui sesi libat urus yang telah dijalankan, pihak pemain industri yang terkesan telah memaklumkan keperluan mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan bagi membantu meringankan beban kos operasi, yang telah memberi impak kepada harga barangan di pasaran.

KPDNHEP dan MAFI juga telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan masalah ini dan pihak MOF secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan saranan dan cadangan daripada kedua-dua kementerian dan sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan oleh MOF.

Akhir sekali, KPDNHEP sentiasa proaktif dalam melakukan pemantauan dan pemeriksaan harga barang serta boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur-unsur pengambilan keuntungan yang berlebihan. Pengguna juga digallakn untuk menggunakan aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan maklumat harga yang berpatutan serta pilihan yang lebih meluas.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2021  Telah berlangsung Majlis Perasmian Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) Tahun 2020 oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. APDN 2020 julung-julung kali diadakan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih Kerajaan atas peranan penting yang dijalankan oleh pemain-pemain industri sebagai barisan hadapan ekonomi domestik negara.

Menurut YB Menteri PDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi , APDN 2020 ini melibatkan sebanyak 25 kategori anugerah meliputi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), Kedai Harga Patut, Francais, Jualan Langsung, Peruncitan, E-Dagang, Media dan Stesen Minyak. Dengan pelaksanaan APDN 2020, ianya diharap dapat menjadi pemangkin serta motivasi kepada barisan hadapan ekonomi agar bekerja dengan lebih gigih dan penuh kesungguhan pada tahun yang mendatang, seterusnya menggerakkan sektor peruncitan untuk kembali memberi sumbangan signifikan kepada pencapaian sektor perkhidmatan negara.

APDN 2020 ini juga memberikan pengiktirafan kepada barisan hadapan ekonomi bagi setiap usaha dan inovasi yang dilaksanakan demi kelangsungan kepada perniagaan sedia ada. Pada masa yang sama, APDN 2020 ini dapat meningkatkan persaingan sihat dalam sektor peruncitan, PKS dan kepenggunaan. Ianya termasuk membina rangkaian hubungan baik dan memperluas kerjasama di antara Kementerian dan pemain-pemain industri yang berkaitan.

Pada majlis APDN 2020 ini, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan 5 Anugerah Perdana seperti berikut:

Bil Kategori Anugerah Pemenang
1 PKS SKU/Produk Terbaik Fatihah Frozen Food Sdn Bhd
2 Peruncitan Penyertaan Terbaik Kategori KBBM Mydin Mohamed Holdings Berhad
3 E-Dagang Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik Ecart Services Malaysia Sdn Bhd (Lazada Malaysia)
4 Francais Francais Terbaik (Dalam Negara) Global Art & Creative Sdn Bhd
5 Stesen Minyak Kedai Serbaneka Stesen Minyak Terbaik Shell Malaysia Trading Sdn Bhd

Manakala, bagi Anugerah Khas Media dimenangi oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi kategori media elektronik paling aktif dan Grup Majalah Karangkraf Sdn Bhd (Sinar Harian) untuk kategori media cetak dan dalam talian paling aktif mempromosikan aktiviti dan berita perdagangan dalam negeri.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


PULAU PINANG, 16 NOVEMBER 2021  Merujuk kepada petikan sebuah akhbar tempatan bertajuk “Minyak Masak Peket Kurang Di Pasaran” bertarikh 14 November 2021, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Negeri Pulau Pinang (KPDNHEP) telah mengambil maklum serta menjalankan pemeriksaan.

Menurut Tuan Haji Azman Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, setelah menjalankan pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus minyak masak di Pulau Pinang mendapati tidak berlaku gangguan di peringkat pengeluaran dan pengedaran ke pasaran.

Untuk makluman, sejumlah 1.9 juta kilogram minyak masak bersubsidi paket polibeg 1 kilogram telah diedar kepada pasaraya dan peruncit untuk kegunaan isi rumah domestik di seluruh Pulau Pinang dengan baki berjumlah 1.5 Juta kilogram akan diedarkan pada bulan ini.

Selain itu, akhbar tempatan tersebut turut menyatakan had pembelian yang menyukarkan kepada peniaga-peniaga kecil semasa membeli minyak masak subsidi paket polibeg 1 kilogram. Pihak KPDNHEP ingin menjelaskan bahawa minyak masak subsidi polibeg 1 kilogram adalah untuk kegunaan isi rumah domestik dan had pembelian yang ditetapkan adalah bertujuan untuk memastikan lebih ramai isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh Kerajaan.

Sehubungan itu, peniaga, peniaga kecil dan pengusaha kedai makanan yang menggunakan minyak masak untuk tujuan jualan adalah tidak termasuk dalam golongan sasar minyak masak bersubsidi ini.

KPDNHEP juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis runcit dan mendapati bekalan minyak masak mencukupi di pasaran. Walaubagimanapun, isu kekurangan minyak masak 1 kilogram polibeg bersubsidi ini timbul kerana peniaga kecil dan pengusaha makanan yang ingin membuat pembuat secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak.

Tambahnya lagi, pemeriksaan dan pemantauan akan terus dilaksanakan bagi memastikan bekalan mencukupi serta tidak berlaku penyelewengan. Pengguna juga diminta untuk akur dengan had pembelian supaya lebih ramai isi rumah dapat menikmati minyak masak bersubsidi polibeg 1kg.  Peniaga juga diminta untuk mematuhi arahan untuk memastikan had pembelian hanya untuk isi rumah dan bukanya peniaga atau pengusaha kedai makan.

Akhir sekali, KPDNHEP menghargai kepada mana-mana pihak untuk menghubungi KPDNHEP negeri atau cawangan di Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai bekalan barang kawalan di pasaran bagi mengelakkan situasi pembelian panik kepada semua pihak.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


SEPANG,  1 NOVEMBER 2021 -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini telah melancarkan Penjualan Kit Ujian Kendiri COVID-19 (RTK) pada harga di bawah paras RM10.00 seunit. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan pihak WCT Holdings Berhad (selaku pengendali operasi Gateway @ KLIA2).

Menurut YB Dato Sri Alexander, ini merupakan usaha kerajaan dalam menggalakkan Keluarga Malaysia untuk mengawal tahap kesihatan mereka secara kendiri dan cepat mengambil tindakan jika wujudnya gejala pada diri mereka dan di kalangan ahli keluarga mereka. Sehubungan dengan itu, RTK mestilah mudah diperolehi, dekat dengan tempat kediaman dan harganya berpatutan.

KPDNHEP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (MDA) telah berbincang dan mengambil inisiatif untuk membuka peluang kepada rangkain kedia serbaneka dan stesen-stesen petrol seluruh negara untuk menjual RTK yang telah mendapat kelulusan dari MDA.

Tambahnya lagi, sehingga 28 Oktober 2021, sejumlah 2,570 premis perniagaan kategori pasaraya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak telah diberi kelulusan untuk menjual RTK. Premis KK Supermart Cawangan Gateway @ KLIA2 ini merupakan salah satu daripada 494 premis di bawah pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd yang telah diberi kelulusan oleh KPDNHEP untuk menjual RTK.

Selain daripada Majlis Pelancaran ini, YB Menteri turut melakukan tinjauan di Pasaraya Jaya Grocer yang terletak di KLIA 2 ke atas pelaksanaan hari pertama Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali 2021 yang akan disambut pada 4 November 2021. Tempoh pelaksanaan SHMMP pada kali ini mengambil pendekatan menang-menang di kalangan ahli Keluarga Malaysia yang terdiri dari peniaga dan pengguna berdasarkan tinjauan dan penyelidikan yang telah dibuat terhadap bilangan barangan dan tempoh masa pelaksanaan.

Tegasnya,  bagi memastikan pematuhan SHMMP ini, Kementerian akan mengambil tindakan kompaun serta merta berbanding sebelum ini dan meningkatkan nilai kompau iaitu 3 kali ganda dari kadar biasa.

Berikut merupakan senarai harga barangan terkawal bagi SHMMP Deepavali 2021:

 

(1)        Ayam hidup

(2)        Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

(3)        Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

(4)        Daging kambing biri-biri import bertulang

(5)        Telur ayam Gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)

(6)        Telur ayam Gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)

(7)        Telur ayam Gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)

(8)        Cili merah

(9)        Tomato

(10)      Kelapa biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja)

(11)      Kelapa parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja)

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive