Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

SEPANG, 16 JANUARI 2021 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini bersama-sama  Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Pengarah Penguat Kuasa, Azman Adam dan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Ibu Pejabat, Putrajaya mengadakan pemeriksaan yang berfokus kepada aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi di sekitar kawasan Kompleks membeli belah Kipp Mall Kota Warisan dan Giant Distribution Centre, di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang disini.  

Pemeriksaan ini dijalankan adalah untuk memantau pematuhan SOP PKP di kalangan pihak industri, serta meninjau keberadaan bekalan barangan keperluan harian pengguna.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis yang dilawati mematuhi SOP PKP yang ditetapkan. Dimasa yang sama, KPDNHEP Negeri dan Daerah turut melaksanakan pemeriksaan Khas Pematuhan SOP sepanjang tempoh PKP dikuatkuasakan dan sehingga 16 Januari 2021 dengan menghasilkan sejumlah 321,850 premis perniagaan telah diperiksa.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 314,018 premis didapati patuh SOP PKP manakala 477 premis telah menerima amaran untuk membuat penambahbaikan segera terhadap pematuhan SOP PKP. Manakala sejumlah 7,355 premis telah diberikan nasihat untuk menambahbaik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten semasa beroperasi.

KPDNHEP telah menggariskan gerak kerja untuk melaksanakan penguatkuasaan di bawah Akta ini dengan menetapkan kompaun sebanyak RM1, 000 boleh dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP PKP.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


aktapencegahan

PUTRAJAYA, 15 JANUARI 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memberikan komitmen dalam aspek penguatkuasaan pemeriksaan dan pengkompaunan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] terhadap pematuhan Standard Operating Procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP yang telah diberi kuasa di bawah Akta 342 sepanjang tempoh PKP bermula 8 Mei 2020.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP telah diberi kuasa untuk memastikan pematuhan SOP PKP berhubung aktiviti-aktiviti dilarang yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam hari ini menyebut, penurunan kuasa yang telah diberikan kepada KPDNHEP adalah di bawah Peraturan-Peraturan berikut :-

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.11) 2020 [P. U. (A) 301/2020];

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.12) 2020 [P. U. (A) 308/2020];

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.8) 2020 [P. U. (A) 254/2020]

Menurutnya, KPDNHEP telah menggariskan gerak kerja untuk melaksanakan penguatkuasaan di bawah Akta ini dengan menetapkan sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP PKP, tindakan mengenakan kompaun sebanyak RM1, 000.00 boleh dikenakan.

“Pelaksanaan kebenaran membuka Sektor Perdagangan Pengedaran supaya terus beroperasi dalam tempoh PKP ini adalah demi menjaga keseimbangan ekosistem dan kelangsungan ekonomi yang memerlukan aktiviti urus niaga diteruskan beserta kawalan penguatkuasaan dan pematuhan SOP PKP, “ujarnya.

Kementerian menasihati dan memberi peringatan kepada semua pihak agar dapat memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya. Sekiranya pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang ditetapkan, Kerajaan boleh bertindak tegas termasuk melaksanakan penutupan premis.

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab  memastikan Sektor Perdagangan Pengedaran tidak menyumbang kepada peningkatan jangkitan COVID-19 serta mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Pengedaran Perdagangan dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa. “ tegasnya.

  KPDNHEP juga konsisten bertanggungjawab mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi di pasaran.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bermula pada 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. Pelaksanaan PKP bertujuan membendung penularan jangkitan COVID-19.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


tuanazmanadam

PUTRAJAYA, 14 JANUARI 2021 – Timbalan Pengarah ( Pencegahan ) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam secara rasminya dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa (KPDNHEP) yang baharu berkuatkuasa 5 Januari 2021.

Azman yang dilahirkan pada 16 Januari 1971 di Negeri Terengganu Darul Iman, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tengku Lela Segara, Marang sebelum melanjutkan pengajian di peringkat  Ijazah Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred N27 sehingga tahun 2000. Pernah diberikan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sarawak dan seterusnya bertugas di Pejabat KPDNHEP Terengganu pada tahun 2004 di atas kenaikan pangkat.

Pengalaman beliau di dalam bidang penguatkuasa amat luas memikul pelbagai tanggungjawab  di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah ( Pencegahan ). Beliau memiliki pengalaman yang luas lagi holistik dan mempunyai daya kepimpinan yang terbukti terutamanya dalam bidang penguatkuasaan.

Dalam bidang kemasyarakatan, beliau pernah diberikan peranan yang penting di dalam beberapa portfolio di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan di peringkat kementerian.

Pelbagai pengiktirafan telah beliau terima antaranya anugerah Sijil Penghargaan (TSSC) oleh DYMM Sultan Selangor, Sijil Penghargaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Sijil Penghargaan Ketua Setiausaha KPDNKSH. Beliau turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pegawai Contoh KPDNHEP Terengganu.

Di sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerima anugerah High Performance Award, Maybank Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima sebanyak lima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNKSH pada tahun 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011.

Dalam kenyataan medianya, Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berjanji akan memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada  Azman untuk menggalas amanah dan jawatan yang baharu ini. Beliau yakin Azman akan terus mendokong misi dan visi Kementerian dalam keadaan penuh siap siaga dan upaya menyelia pematuhan perundangan di bawah Kementerian dalam kalangan peniaga dan prihatin melindungi kepentingan pengguna.

Majlis penyempurnaan pemakaian pangkat Pengarah Penguat Kuasa, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP kepada Azman diadakan secara tertutup dan hanya melibatkan Pengurusan Tertinggi Kementerian dalam kapasiti terhad serta terkawal dengan pematuhan SOP yang diselia rapi hari ini.

“Saya mengajak seluruh warga Kementerian dan pihak media untuk sama-sama mengucapkan tahniah kepada beliau di hari yang bersejarah ini dan memberikan sepenuh sokongan agar beliau  terus berjaya memimpin Bahagian Penguat Kuasa melaksanakan peranan dan tugas dengan penuh integriti, mesra, pantas, cekap dan efektif demi tradisi kegemilangan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


photo6339374551145753581

PUTRAJAYA, 12 JANUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021 untuk perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh bermula 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021 melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

  KPDNHEP sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini akan sentiasa memastikan rangkaian peruncitan, pengedaran dan pemborongan yang merupakan nadi kepada ekonomi domestik tidak terjejas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia mendapatkan bekalan barangan keperluan asas di pasaran.

  Dalam mengimbangi kelangsungan perkembangan ekonomi dalam negeri, salah satu daripada lima sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi adalah sektor perdagangan dan pengedaran yang merupakan salah satu sektor di bawah kawal selia KPDNHEP.      

  Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi memastikan tiada sebarang halangan atau sekatan pergerakan sepanjang tempoh PKP syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran yang dibenarkan beroperasi ini perlu mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran.  

“Syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh memohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran dengan mengakses portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), MITI melalui pautan https://notification.miti.gov.my/.,” ujarnya.

Syarikat-syarikat sektor perdagangan dan pengedaran yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian melalui pautan pautan https://notification.miti.gov.my/ dan surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.   

  Pihak KPDNHEP juga ingin mengingatkan agar pihak syarikat yang dibenarkan beroperasi turut memastikan hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat dan pekerja dalam kumpulan sokongan/operasi akan ditentukan oleh majikan masing-masing serta memastikan pematuhan SOP yang ketat.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap syarikat yang telah diberi kebenaran mematuhi arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa,” tambahnya.  

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive