Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

ALOR SETAR, 10 APRIL 2021 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini menyempurnakan Perasmian Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah 2021 dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan Di Pasar-Pasar Utama di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah.

Kempen ini adalah bagi menyahut seruan Kerajaan bagi memastikan semua sektor samada ekonomi, keselamatan mahupun sosial mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesedaran awam serta pematuhan norma baharu COVID-19 pada tahap yang tinggi.

Majlis Pelancaran ini adalah kesinambungan kepada Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan yang telah bermula di Pasar Payang, Kuala Terengganu dan Pasar Siti Khadijah pada 5 Mac 2021 lalu dan akan diteruskan di pasar-pasar terpilih iaitu Pasar Satok di Kuching, Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, dan Pasar Chowrasta di Georgetown.

Pemilihan pasar-pasar utama ini adalah kerana ia menjadi tumpuan pengguna terutama pelancong domestik. Pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung luar dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka semula kelak. Ia juga harus dijadikan amalan terbaik serta menjadi contoh kepada sektor-sektor lain dalam pematuhan SOP.

Menurut Dato Sri Alexander, KPDNHEP menyeru supaya kegiatan kepenggunaan dipelbagai peringkat dipertingkatkan dengan penglibatan PKP, Jawatankuasa Pengguna Daerah, Persatuan Pengguna Sekolah dan Gerakan Pengguna Siswa. Penglibatan dan peranan Organisasi Bukan Kerajaan dan Civil Society juga penting dan boleh memberi impak yang dihasratkan.

“Dimaklumkan terdapat 66,390 rakan pengguna di Negeri Kedah yang berdaftar dengan KPDNHEP, Kementerian berharap kewujudan mereka ini dapat digembleng secara berstruktur agar isu dan kepentingan pengguna khususnya di peringkat setempat dapat ditangani dan diatasi dengan berkesan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

KUALA LUMPUR, 9 APRIL 2021 – Program Jualan Malaysia (PJM) yang memasuki edisi kedua tahun ini digerakkan untuk menjadi pemangkin ke arah pemulihan dan seterusnya melonjakkan ekonomi negara terutama di dalam sektor peruncitan yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemic COVID-19.
Pelancaran PJM di Jakel hari ini disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba

Kerjasama KPDNHEP dan Jakel Group ini merupakan pelancaran PJM bagi tahun 2021. Jakel adalah jenama yang amat dekat di hati pengguna terutama bagi pemilihan fabrik untuk digayakan pada hari raya.

Tahun lalu PJM memperkenalkan segmen bertema mengikut produk setiap bulan tetapi di edisi kedua ini, PJM memberi fokus kepada segmen perayaan terbesar di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri untuk jangkamasa April – Mei , Hari Gawai dan Kaamatan, Mei – Jun, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada Ogos – September, Deepavali pada November serta Krismas dan Tahun Baru pada Disember 2021. Segmen Tahun Baru Cina tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan PKP.

Untuk rekod, pelaksanaan PJM tahun 2020 berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan nilai jualan sektor runcit sebanyak RM135.9billion pada Q4/2020 yang melebihi RM100 bilion yang disasarkan.
“Bilangan permohonan Notis Jualan Murah juga mencatatkan peningkatan pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 15,831 permohonan diterima berbanding 8,329 permohonan pada tahun 2019. Daripada jumlah ini, sebanyak 10,879 permohonan adalah sepanjang tempoh PJM berlangsung.

“Bilangan premis yang melaksanakan jualan murah juga turut meningkat pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 326,395 premis berbanding 108,392 premis pada tahun 2019. Daripada jumlah ini, sebanyak 196,879 premis melaksanakan jualan murah sepanjang tempoh PJM, tambahnya.
PJM turut mempromosikan aplikasi MySales Tracker untuk membantu pengguna mengetahui lokasi sesuatu jualan yang sedang berjalan sekaligus membuat perbandingan harga. Aplikasi ini telah memberi manfaat dikala kerajaan menggalakkan rakyat untuk berbelanja dengan bijak serta membantu menggurangkan penipuan di dalam kempen jualan.
Pelaksanaan PJM kali ini turut mengadaptasi elemen norma baharu melalui Program Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan Dalam PJM serta program shopping street/district, cabutan bertuah dan e-Voucher.

“Adalah diharapkan PJM tahun ini akan menjadi pemangkin dalam memulihkan sektor peruncitan dan memperkukuhkan semula permintaan domestik dengan menggalakkan para pengguna berbelanja, “ katanya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


PASTIKAN SELAMAT BARU BELI

MELAKA, 3 APRIL 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan keselamatan barangan yang hendak dibeli, terutamanya bagi barangan yang berisiko tinggi seperti kelengkapan elektrik dan elektronik.

Berucap pada Program Advokasi Standard Keselamatan Barangan Pengguna Anjuran Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP di sini, Timbalan Menterinya, Dato’ Haji Rosol Wahid berkata, isu-isu keselamatan barangan pengguna terutamanya bagi barangan yang berisiko tinggi merupakan agenda penting yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Tambahan pula dengan keadaan semasa negara yang dibanjiri dengan lambakan pelbagai barangan daripada luar negara. Walaupun fenomena ini dilihat memberi faedah kepada pengguna daripada segi kepelbagaian pilihan dan harga yang ditawarkan, namun demikian bukan semua barangan yang memasuki pasaran Malaysia ini mempunyai standard keselamatan dan kualiti sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna.

Lambakan barangan sub-standard yang diragui tahap keselamatannya merupakan satu ancaman yang membimbangkan terhadap para pengguna di negara kita yang tidak berupaya untuk membuat pilihan yang baik disebabkan batas pengetahuan yang dimiliki oleh mereka.

Akibatnya pengguna seringkali tertipu dalam pembelian barangan yang disangka mempunyai standard keselamatan dan kualiti yang tinggi.

Sehubungan itu, adalah penting bagi pengguna untuk membuat pilihan yang bijak.

Beliau berkata, sebagai Kementerian yang komited dalam usaha menjaga kepentingan pengguna, KPDNHEP sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan perlindungan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan barangan pengguna.

Salah satu peranan dan tanggungjawab KPDNHEP adalah untuk mengkaji, merangka dan membangunkan perundangan berhubung standard keselamatan barangan pengguna selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi memastikan perlindungan pengguna yang menyeluruh mengikut keutamaan dan keperluan semasa. Peranan ini dimainkan oleh Bahagian Standard Kepenggunaan.

Selain itu, KPDNHEP juga bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan barangan dan budaya standard di kalangan pengguna.

Sehubungan itu, tujuan utama program advokasi ini diadakan adalah untuk meningkatkan dan memantapkan kefahaman dan kesedaran peserta berhubung peraturan standard keselamatan barangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

Matlamat utama program ini diadakan adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pendayaupayaan pengguna supaya dapat memilih barang yang selamat dan mengurangkan risiko terhadap kejadian kecederaan atau kemalangan.

Langkah ini juga adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan pembelian barangan yang selamat dan berkualiti oleh pengguna.

Kesedaran pengguna merupakan aspek penting bagi memastikan pengguna mampu membuat pilihan dengan bijak dalam pembelian barangan supaya ianya tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.

Kita sebagai pengguna tidak harus mudah terpengaruh dengan tawaran barangan pada harga yang terlalu murah kerana dikhuatiri tiada jaminan daripada aspek keselamatan dan kualitinya.

Perasmian program ini turut dihadiri YBhg. Datuk Wira Ar. Ismail Othman

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka; YBrs. Dr Alauddin Sidal, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri); Tuan Azman bin Adam, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP; Encik Rahmat bin Wadio

Pengarah Bahagian Standard Kepenggunaan KPDNHEP dan Puan Norena binti Jaafar, Pengarah KPDNHEP Melaka.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


KPDNHEP MELALUI INISIATIF TAMBAHAN SSM LANJUTKAN INISIATIF PENGECUALIAN KOMPAUN SEHINGGA 31 DISEMBER 2021

PUTRAJAYA, 1 APRIL  2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berasa teruja apabila YAB Perdana Menteri turut merangkumkan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah agensi di bawah KPDNHEP dalam agenda PEMERKASA bagi mengurangkan beban entiti perniagaan melalui Inisiatif Ke-9: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi dan juga Inisiatif Ke-18: Prihatin OKU.

Melalui Inisiatif Ke-9 juga, SSM bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan. Melalui Inisiatif Ke-9 ini juga, SSM memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Melalui Inisiatif Ke-18 pula, golongan OKU berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi  dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa bagi menyokong agenda PEMERKASA, KPDNHEP melalui SSM akan turut melanjutkan tarikh tamat inisiatif pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 sehingga 31 Disember 2021.

Katanya, inisiatif ini adalah lanjutan daripada pelaksanaan pengecualian kompaun atas kelewatan memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan yang dilaksanakan mulai 17 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 sebelum dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2021. Inisiatif pengecualian  kompaun atas kelewatan mendaftarkan perniagaan baharu pula mula diperkenalkan mulai 1 Januari 2021 dan akan berakhir pada 30 Jun 2021.

 

“Pengecualian kompaun ini diperkenalkan bertujuan untuk membantu komuniti perniagaan yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana ramai peniaga dan bakal peniaga terutamanya yang berada di luar bandar tidak dapat memperbaharui perakuan pendaftaran perniagaan atau lewat mendaftarkan perniagaan baharu yang akan menyebabkan mereka dikenakan kompaun.

“Pelanjutan inisiatif pengecualian kompaun ini dijangka dapat memberi penjimatan sebanyak RM13.7 juta untuk dimanfaatkan oleh lebih 330,000 komuniti peniaga dalam mengharungi cabaran pemulihan ekonomi, “ tambahnya. 

KPDNHEP berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu komuniti perniagaan meneruskan perniagaan dan menggalakkan lebih ramai bakal peniaga menceburi bidang perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi domestik di Malaysia yang terkesan akibat pendemik Covid-19.

KPDNHEP menyambut baik usaha Kerajaan memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) seperti yang diumumkan  YAB Tan Sri Dato' Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Mac 2021 lalu dengan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu rakyat.

Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 20 inisiatif strategik dengan peruntukan berjumlah RM20 bilion disediakan bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive