Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

kpdnhep sambut baik saranan yab perdana menteri menyelesaikan isu harga dan bekalan ayam

Putrajaya, 24 Mei 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik saranan dan solusi yang telah dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani isu bekalan dan harga ayam.

Melalui mesyuarat Kabinet yang telah diadakan, Kerajaan telah bersetuju untuk mengambil beberapa tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah dan isu barangan, kepenggunaan dan harga barang yang telah memberikan kesan kepada Keluarga Malaysia.

Menurut Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, KPDNHEP bersedia bekerjasama dengan mana-mana Kementerian dan agensi yang berkaitan untuk bersama-sama mencari dan melaksanakan tindakan penyelesaian bagi merealisasikan saranan yang telah dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri.  Ini termasuklah mengguna pakai undang-undang yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan peniaga dijaga.

Tambahnya lagi, mengenai laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam, berdasarkan punca kuasa yang telah diperuntukkan kepada pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melalui Akta Persaingan 2010, pihak MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari 2022 untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian anti-persaingan atau/dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.  Dalam hal ini, pihak MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran. 

Sekiranya didapati tuduhan kartel itu mempunyai asas yang kuat, maka pihak MyCC dijangka mengeluarkan Keputusan Cadangan, di bawah Seksyen 36 Akta yang sama. Kemudiannya, pihak yang disiasat itu akan diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan sebelum Suruhanjaya membuat keputusan muktamad.

Berkaitan Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana individu dan syarikat yang menyorok, menyimpan atau melakukan unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa memberi jaminan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud elemen-elemen perlanggaran terhadap akta ini di semua rantaian bekalan dan peruncitan.

Semua peniaga dipohon untuk memberikan kerjasama dan sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta maklumat yang lengkap melalui saluran rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


kpdnhep komited merancakkan semula ekonomi sektor peruncitan melalui pjm

SONG, 21 Mei 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited dalam memastikan sumbangan sektor peruncitan dipacu secara positif dan dinamik ke arah pemulihan ekonomi negara yang lebih kukuh. 

Sektor peruncitan telah memberikan sumbangan yang sangat signifikan kepada ekonomi negara. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang terkini, prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran bagi sepanjang bulan Februari 2022 telah merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 billion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2% berbanding tempoh sama, tahun sebelumnya.

Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP berkata, pencapaian ini dijangka dapat ditingkatkan lagi dengan pelbagai inisiatif yang diambil Kementerian terutama menerusi Program Jualan Malaysia (PJM) sepanjang Tahun 2022 dengan memberi penekanan kepada segmen musim perayaan utama Keluarga Malaysia. Bermula awal tahun ini, Kementerian telah melancarkan PJM Tahun Baru 2022 serentak dengan Jualan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, dan PJM  Rancak Aidilfitri” di Nilai, Negeri Sembilan dan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Manakala, PJM  Rancak Hari Gawai” merupakan kesinambungan segmen perayaan ini dalam usaha menggalakkan ahli Keluarga Malaysia keluar berbelanja secara fizikal dalam suasana norma baru yang selamat dan meriah.

PJM ini juga secara langsung menyokong usaha pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan oleh KPDNKSH menerusi sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan berteraskan konsep 3R iaitu Recovery (pemulihan), Revive (menghidupkan semula) dan Revitalise (merancakkan) yang dijangka menjana dan menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 bilion menjelang akhir tahun ini. 

Selari dengan inisiatif tersebut, Kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat khususnya pemain industri peruncitan untuk terus memastikan ekosistem sektor ini kekal berdaya saing dan berdaya maju dalam merancakkan kembali ekonomi negara.

Akhir sekali, Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel ke alamat This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.  

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


pengumuman harga maksimum shmmp hari raya puasa 2022

SONG, SARAWAK, 21 Mei 2022 – Untuk memastikan Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (COL) terutamanya sepanjang musim perayaan yang bakal disambut, KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan 2022.

Menurut Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ini merupakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan tertentu di pasaran sepanjang musim perayaan. SHMMP Pesta Kaamatan 2022 ini bermula 27 Mei 2022 sehingga 2 Jun 2022 iaitu tiga (3) hari sebelum perayaan, satu (1) hari semasa perayaan dan tiga (3) hari selepas perayaan.

Manakala Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2022 pula akan dilaksanakan bermula 29 Mei 2022 sehingga 4 Jun 2022 iaitu tiga (3) hari sebelum perayaan, satu (1) hari semasa perayaan dan tiga (3) hari selepas perayaan.

Sebanyak lapan (8) jenis barangan akan dikawal bagi pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan lapan (8) jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai.

Senarai barangan harga terkawal bagi SKIM HARGA MAKSIMUM PESTA KAAMATAN 2022 adalah seperti kepak ayam, cili kering, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), babi hidup (*harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Bagi barangan harga terkawal bagi SKIM HARGA MAKSIMUM HARI GAWAI 2022 pula adalah seperti ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), Kubis bulat import, cili kering dan babi hidup (*harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).   

Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri yang terbabit dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa hasil dari pemantauan dan kutipan. Ianyan juga mengambil kira faktor terkini perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Pihak Kementerian ingin terus mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi peraturanperaturan di bawah Skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i)         Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:

  • Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga

RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan

  • Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;

(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:

  • individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
  • syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta maklumat yang lengkap melalui saluran-saluran aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


pelancaran logo barang subsidi dan barang kawalan

PUTRAJAYA, 19 Mei 2022 – Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Logo Barang Subsidi dan Barangan Kawalan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurut Menterinya, penggunaan Logo Barang Subsidi bertujuan supaya pengguna lebih maklum akan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan untuk meringankan kos sara hidup golongan sasar. Manakala penggunaan Logo Barang Kawalan pula bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada pengguna akan hak-hak pengguna khususnya hak ke atas barang kawalan yang dilindungi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung ketirisan dan penyalahgunaan barang-barang subsidi dan kawalan. Komoditi yang terlibat dalam projek rintis ini adalah Gula, Minyak Masak dan Tepung Gandum.

Turut berlangsung, diadakan jualan barangan keperluan asas (MyGrocer) di perkarangan Pejabat KPDNHEP Putrajaya. Program Outreach Sara Hidup melalui kerjasama strategik antara Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (MyGrocer) ini adalah merupakan satu inisiatif di bawah agenda kos sara hidup melalui penjualan barangan dapur harian pengguna tanpa penglibatan orang tengah dalam rantaian pembekalan. Harga barangan yang dijual kepada pengguna adalah lebih rendah sebanyak 5% hingga 20% daripada harga pasaran.

Sehingga kini, sebanyak 56 Program Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam (PPR/ PA) di Lembah Klang telah mendapat manfaat inisiatif di bawah MyGrocer ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive