PROGRAM PERLINDUNGAN PENGGUNA
Bertanggungjawab tentang hal ehwal perlindungan pengguna melalui penyemakan dan cadangan undang-undang dan dasar-dasar baru untuk melindungi pengguna, menerima aduan pengguna dan menjadi urusetia kepada Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN).
KAJIAN SEMAKAN SEMULA DASAR PENGUNA NEGARA (DPN) dan PELAN TINDAKAN PENGGUNA (PTP)
Kementerian telah mengenalpasti keperluan untuk melaksanakan kajian semakan semula Dasar Pengguna Negara (DPN) dan Pelan Tindakan Pengguna (PTP). Kajian ini adalah penting untuk memastikan bahawa Dasar Pengguna Negara dan Pelan Tindakan Pengguna bersesuaian dengan keperluan semasa agar kekal relevan dan melindungi kepentingan para pengguna di negara ini.
SEMAKAN AKTA PERLINDUNGAN PENGGUNA 1999 (Akta 599)
Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 (atau Akta 599) telah berkuatkuasa pada 15 November 1999 untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan pengguna.
Sejak itu, pindaan telah dibuat sebanyak tujuh kali iaitu :
Pindaan 2002 – Pindaan Subseksyen 17 (1) menyenaraikan jenis-jenis Kontrak Perkhidmatan Hadapan yang telah diwartakan oleh KPDN untuk maksud seksyen berkenaan.
Pindaan 2003 – menambah keanggotaan TTPM daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan serta meningkatkan award TTPM daripada RM10, 000 kepada RM25, 000.
Pindaan 2007 – memperluaskan skop Akta 599 kepada urusniaga perdagangan secara elektronik.
Pindaan 2010– pengenalan terhadap Bahagian IIIA : Terma Kontrak Tidak Adil yang menetapkan peruntukan-peruntukan bagi melindungi pengguna daripada terma-terma tidak adil yang wujud dalam sesuatu kontrak bentuk seragam dan Bahagian XIIA: Jawatankuasa Pengiklanan yang memperuntukan kuasa kepada Menteri untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap pembekal yang mengeluarkan iklan yang mengelirukan atau palsu.
Pindaan 2015– perluasan skop Akta 599 untuk memasukkan tuntutan pengguna yang berkaitan dengan perkhidmatan penerbangan.
Pindaan 2017–pengenalan terhadap Bahagian IIIB: Urus Niaga Jualan Kredit bagi mengawal transaksi jualan kredit.
Pindaan 2019– meningkatkan award TTPM daripada RM25,000 kepada RM50,000 serta meningkatkan kadar penalti bagi ketidakpatuhan award.