MELAKA, 1 OKTOBER 2017 – Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad berjaya menggondol tiga daripada enam anugerah yang dipertandingkan dalam Konvensyen Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Mahkota Hotel, di sini.
Koperasi ini yang mewakili negeri Perak membawa projek yang bertajuk “ UR Planting Kit” turut menerima geran khas berjumlah RM 20,000 yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh.
Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad muncul juara dan memenangi kategori Projek Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM 20,000. Manakala Mohd. Rosnizam Mohd. Yusoff dari sekolah ini memenangi kategori Guru pembimbing Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM 2,000.
Pengurus terbaik turut dimenangi sekolah berkenaan menerusi Muhammad Anas Muhammad Hishamuddin yang menewaskan 13 calon lain dengan membawa pulang RM 2,000.
Sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian dalam konvensyen tahunan ini yang menemukan juara – juara setelah memenangi peringkat negeri masing-masing.
Anugerah Pembentang Terbaik disandang Nurul Zalikha Hazwani Zamri mewakili Koperasi Sekolah Menengah Syed Alwi Kangar, Perlis manakala Anugerah Persembahan Terbaik menjadi milik Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Fuad Berhad, Kota KInabalu, Sabah dan Anugerah Khas Juri dimenangi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk Pulau Pinang.
Konvensyen YESS bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan memupuk semangat keusahawanan bagi melahirkan bakal-bakal usahawan muda dalam kalangan pelajar-pelajar yang mampu berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK