anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2017 Jaga Disiplin Dan Tingkahlaku

SEREMBAN, 21 SEPTEMBER 2017 – Pegawai dan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK) disaran supaya sentiasa mematuhi displin dan tingkahlaku sebagai penjawat awam bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Saleh berkata, kebanyakan tindakan disiplin yang diambil ke atas warga kerja kementerian ini ialah tidak hadir tugas tanpa sebab atau bercuti.

Katanya, banyak lagi kesalahan yang dirujuk ke Lembaga Tatatertib tetapi yang paling banyak dilaporkan ialah kesalahan tidak hadir bertugas tanpa sebab.

“Kebanyakan yang dikenakan tindakan sehingga dibuang kerja adalah dari kalangan kakitangan kumpulan pelaksana,” ujarnya ketika bercakap di majlis perjumpaan beliau dengan pegawai dan kakitangan KPDNKK Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau yang melakukan lawatan kerja sehari ke pejabat ini kesal kerana kakitangan kumpulan pelaksana di antara yang ramai dikenakan tindakan walaupun kumpulan –kumpulan lain ada juga yang melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau mahukan agar kakitangan kumpulan pelaksana ini beriskap positif ketika menjalankan tugas dan merujuk kepada pegawai atasan sekiranya menghadapi sebarang masalah atau tekanan kerja.

Hadir sama, Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan Ain Arjuna, Pengarah Pembangunan Sumber Manusia, dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Dan Kewangan.

Dato’ Sri Jamil menghabiskan hampir empat jam untuk berdialog dan bertukar-tukar pandangan dengan warga kerja KPDNKK Negeri Sembilan di samping meninjau suasana ruang kerja mereka di bangunan yang terletak di Seremban 2 itu. Beliau melahirkan hasrat untuk menempatkan pejabat ini di bangunan yang lebih selesa dengan memberikan kemudahan seperti loker pakaian dan perabot untuk semua warga kerjanya.

Dato’ Sri Jamil sebelum itu diberikan taklimat mengenai pengurusan KPDNKK negeri itu dan berharap tindakan perubahan yang diperkenalkan oleh Pengarahnya sejak setahun lalu disokong oleh semua pihak.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK