SINTOK, 25 OKTOBER 2017 – Program Millenials Mindset Mapping bersama Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berlangsung di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Selain itu, Dato’ Seri Hamzah turut merasmikan Varsity Mall, Student Mall termoden di UUM. Mall tersebut kini menjadi platform kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti keusahawanan.
Pembukaan Varsity Mall ini adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk menerapkan nilai-nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar, selain menepati hasrat universiti untuk menjadi gedung perniagaan serba lengkap dan moden.
Dato’ Seri Hamzah menggesa golongan mahasiswa untuk mendaftar perniagaan mereka secara percuma di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah skim 1 Pelajar, 1 Pendaftaran Perniagaan Usahawan. Katanya, program yang bermula sejak 1 Januari tahun ini, kini telah memberi peluang kepada kira-kira 59,000 mahasiswa untuk menikmati faedah yang disediakan melibatkan peruntukan RM 1 juta oleh kerajaan.
Antara perniagaan yang terdapat di Varsity Mall ialah pasaraya, koperasi UUM, kedai makanan dan minuman, kosmetik dan sebagainya.
Dato’ Seri Hamzah juga berkata, program keusahawanan yang dijalankan ini bagi memberi pendedahan dan peluang kepada golongan mahasiswa untuk meneroka bidang keusahawan dan tidak bergantung kepada budaya makan gaji apabila tamat pengajian kelak.
Turut hadir, Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh serta pegawai-pegawai kanan UMM dan KPDNKK .
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK