BANGI, 15 OKTOBER 2017– Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Razak malam ini menghadiri Malam Gala Varsity Entrepreneurship Skill and Talents (VEST) 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini.
VEST merupakan salah satu insiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti serta menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
Program VEST yang berkonsepkan pertandingan keusahawanan ini telah melibatkan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta yang telah bermula dari Mei 2017 dan tempoh pelaksanaan adalah selama enam bulan. Kira-kira 1600 dengan lebih 200 inovasi perniagaan diperkenalkan melalui pertandingan yang melalui pelbagai peringkat saringan ini.
Sebanyak 10 kumpulan layak bertanding di peringkat separuh akhir dan hanya tiga kumpulan dipilih untuk membentangkan model perniagaan di hadapan Perdana Menteri.
Sejumlah RM50,000 diperuntukkan bagi pemenang-pemenang. Pemenang tempat pertama dimiliki oleh Universiti Teknologi Petronas, Perak dengan inovasinya Aplikasi untuk mencari pekerjaan dengan membawa pulang RM 25,000 selaku juara.
Tempat kedua Universiti Putra Malaysia dengan memperkenalkan Cendol Serdang dengan hadiah sebanyak RM 15,000 manakala tempat ketiga dimenangi Universiti Kebangsaan Malaysia dengan membawa pulang RM 10,000.
Dato’ Seri Hamzah dalam sidang medianya berpuas hati dengan perjalanan Vest ini walaupun ada tindakan yang perlu dilakukan sebagai nilai tambah terutamanya dalam sesi soal jawab dan mendalami teknik perniagaan dalam skop yang lebih meluas.
Katanya, UKM sedia menawar diri untuk menjadi lokasi peringkat akhir pada tahun depan jika diberikan peluang sekali lagi walaupun ia belum dimuktamadkan.
Hadir sama, Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK