anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2021 KPDNHEP KOMITED BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI MELALUI INISIATIF PROGRAM FOOD BANK SISWA

PUTRAJAYA, 25 SEPTEMBER 2021 – Susulan pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus dilaksanakan berperingkat mulai 15 Oktober 202,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil maklum dan melaksanakan Program Food Bank Siswa.

Program Food Bank Siswa ini adalah usaha bagi membantu pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) daripada keluarga kurang berkemampuan agar mereka dapat memberi fokus dengan lebih baik terhadap pembelajaran. Ini merupakan kesinambungan daripada Program Food Bank Malaysia yang telah diperkenalkan mulai 15 Februari 2019 oleh KPDNHEP.

Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP berkata, melalui program ini pelajar akan diberi bantuan makanan dan ianya dapat meringkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh pelajar tersebut. Selain itu, program ini turut mengalu-alukan penglibatan pelajar terutamanya persatuan pelajar sebagai penggerak program yang mana boleh dijadikan sebagai platform bagi membentuk semangat dan budaya kesukarelawan di kalangan pelajar IPT.

Tambahnya lagi, sehingga 15 September 2021, Program Food Bank Siswa ini telah berjaya  dilaksanakan di 27 buah IPTA, IPTS dan Politeknik di seluruh negara dan seramai 19,754 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif program ini.

Bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan Program Food Siswa, pada tahun ini, dua (2) buah IPT telah berjaya melaksanakan program Pada masa yang sama, KPDNHEP sedang membuat persediaan untuk melaksanakan Program Food Bank Siswa di tiga (3) buah IPT yang lain. Pelaksanaan Program Food Bank Siswa ini menggunakan konsep Food Pantry di mana pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) akan menyediakan tempat penyimpanan makanan kering untuk diagihkan kepada pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.

Pihak Kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan pihak KPT bagi memastikan usaha untuk menjaga kebajikan pelajar akan terus dapat dibantu melalui inisiatif program ini. Pihak Kementerian juga akan terus komited melalui kerjasama strategik dengan pihak KPT untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap Program Food Bank Siswa agar pelaksanaan program ini dapat diuruskan dengan lebih baik dan berkesan.

Pihak KPDNHEP juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong Program ini khususnya kepada Rakan Strategik Utama Program Food Bank Malaysia yang telah dilantik oleh Kementerian iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen, Mutiara Food Bank, Kumpulan Legasi Z Sufi, The Lost Food Project, Persatuan Kebajikan Usahawan Mikro Malaysia dan Nation of Women. Kementerian berharap agar lebih ramai lagi pihak yang akan tampil untuk menyokong kepada pelaksanaan Program Food Bank Malaysia ini agar terus dapat membantu mereka yang memerlukan.