anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2021 KENYATAAN PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP) YANG MENGELIRUKAN

 

PUTRAJAYA, 27 NOVEMBER 2021 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terhadap kenaikan harga sayur yang mengelirukan.

Menteri PDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kenyataan yang dibuat berdasarkan pemantauan di empat buah pasar awam di Pulau Pinang itu tidak wajar diterbitkan secara umum dan telah menimbulkan persepsi yang tidak tepat serta keresahan di kalangan pengguna.

Pihak Kementerian berharap agar dapatan serta hasil kajian berkenaan harga barang keperluan dapat dibincangkan terlebih dahulu dengan Kementerian agar data-data tersebut dapat dirujuk-silang dengan data yang dikumpulkan secara harian di lebih dari 1,500 premis sebelum ianya diterbitkan menjadi sesuatu yang bermakna kepada negara dan pengguna Malaysia.

Pemantauan yang dijalankan oleh KPDNHEP mendapati kebanyakkan harga sayur masih dalam keadaan yang terkawal. Hasil pemeriksaan juga mendapati pembukaan semula semua sektor ekonomi ini menyebabkan berlaku pemrintaan yang sangat tinggi secara mendadak.

Tambahnya lagi, kenaikan harga sayur keluaran tempatan dikesan berlaku di beberapa tempat dan berpunca daripada faktor cuaca, logistik dan peningkatan kos baja dan racun. Isu-isu seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta kawasan tanaman sayur sekitarnya didapati turut menjejaskan rantaian pengedaran, terutama bagi sayur-sayur dari tanah tinggi tersebut.

Selain itu, turut berlaku kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan secara maksimum yang telah menyebakan kekurangan bekalan dan seterunya menjadi penyumbang kepada punca kenaikkan harga sayur-sayuran di pasaran.

Bagaimanapun, sebagai langkah untuk menangani isu ini, KPDNHEP serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menubuhkan Jawatankuasa bersama serta mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan pemain industri bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung isu ini, katanya.

Melalui sesi libat urus yang telah dijalankan, pihak pemain industri yang terkesan telah memaklumkan keperluan mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan bagi membantu meringankan beban kos operasi, yang telah memberi impak kepada harga barangan di pasaran.

KPDNHEP dan MAFI juga telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan masalah ini dan pihak MOF secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan saranan dan cadangan daripada kedua-dua kementerian dan sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan oleh MOF.

Akhir sekali, KPDNHEP sentiasa proaktif dalam melakukan pemantauan dan pemeriksaan harga barang serta boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur-unsur pengambilan keuntungan yang berlebihan. Pengguna juga digallakn untuk menggunakan aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan maklumat harga yang berpatutan serta pilihan yang lebih meluas.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP