anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2021 100 HARI ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA

 

PUTRAJAYA, 28 November 2021 Menghampiri 100 hari menerajui pentadbiran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan oleh Kementerian sudah melakar pencapaian 100 peratus.

Tiga KPI itu adalah membabitkan isu berkaitan Sarawak iaitu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 masing-masing di bawah bidang kuasa KPDNHEP; menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen dan memastikan kemampanan industri francais.

Dalam sesi temuramah program Ruang Bicara: Aspirasi Keluarga Malaysia KPDNHEP yang disiarkan di Bernama malam tadi, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan perbincangan yang telah diadakan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kewangan (MOF) serta pihak berkepentingan berkaitan isu kenaikan harga barangan seperti sayur, ayam dan telur, usaha penyaluran bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong sudah dirangka.

Antara langkah strategik lain termasuk memperluaskan penjualan kit ujian pantas (RTK) antigen kepada rangkaian premis peruncitan dan penetapan harga siling telah dilaksanakan. Penetapan harga siling RTK antigen pada paras RM19.90 seunit pada asalnya dijadual berkuat kuasa 5 September 2021, namun mendengar keluhan peniaga yang sudah membuat perolehan dengan harga bekalan berkadar tinggi secara lebih awal, Kerajaan bersetuju memberi tempoh lanjutan penguatkuasaan selama seminggu.

Kini, RTK antigen boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran. Susulan impak faktor persaingan, lambakan RTK antigen yang dijual di pasaran sehingga menjangkau 83 jenama dan pengeluar (berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat 24 November 2021), maka KPDNHEP mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini.

Di dalam program tersebut juga, Dato Sri Alexander turut menegaskan bahawa keputusan ini bukan langkah ‘u-turn’ atau ‘patah balik’, sebaliknya apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi MDA dan KPDNHEP merintis kerjasama, banyak syarikat pengimport RTK ini membawa bekalan masuk serta memberi pilihan yang amat meluas kepada pengguna.

Asas lain di sebalik keputusan KPDNHEP ini ialah sekiranya harga siling masih terus ditetapkan, ia dikhuatiri mengundang manipulasi di peringkat pengedaran dan penjualan kepada pengguna. Berkemungkinan, premis atau pihak yang menjual di bawah paras harga siling, boleh mengambil keputusan untuk menaikkan harga, memandangkan masih ada margin harga jualan untuk mereka berbuat demikian.

Akhir sekali, bersandarkan persaingan hebat ketika ini antara pembekal RTK antigen di pasaran,KPDNHEP menaruh kepercayaan bahawa mereka akan terus menurunkan harga yang ditawarkan kepada pengguna. Kementerian akan terus memantau perkara ini secara berkala.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP