PUTRAJAYA , 5 April 2022 –Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ingin memaklumkan bahawa Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 telah diwartakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada 5 April 2022 (Selasa). Perintah ini berkuat kuasa pada 4 Julai 2022 (Isnin). Ini adalah bagi memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan
Perintah ini mewajibkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dilantik oleh KPDNHEP. Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat oleh pengguna. Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan.
Berikut merupakan tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh Kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport seperti berikut;
- Syarikat : didenda tidak melebihi RM 200,000.00. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.00.
- Individu : didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjara tidak melebihi selama tempoh 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pewartaan ini merupakan inisiatif Kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna. KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat