anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2022 YB MENTERI MENGADAKAN SESI WALKABOUT DI BAZAR RAMADAN PUTRAJAYA SEMPENA OPS PANTAU 2022

PUTRAJAYA, 5 April 2022 – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengadakan walkabout pemantauan harga dan bekalan juadah buka puasa sempena OPS PANTAU 2022 di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian.

Menurut Yb Menteri, Penguat Kuasa KPDNHEP telah mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan sejak sempadan dibuka dan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 menerusi OPS PANTAU 2022. Ini adalah bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah dan memastikan tiada elemen pencatutan dalam penentuan harga oleh peniaga.

Selain itu, pihak KPDNHEP merasakan tiada keperluan untuk peniaga untuk menaikkan harga terutama yang melibatkan dengan penyediaan juadah berbuka puasa. Ini kerana  kebanyakan harga barang-barang mentah keperluan buka puasa dan hari raya telah dikawal oleh Kerajaan melalui Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia sehingga 5 Jun 2022.

Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2022 ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan/cetak rompak, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), halal dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

OPS PANTAU 2022 ini juga akan dipertingkatkan dengan lebih kerap dan dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh Negara dengan lokasi tumpuan. Berdasarkan statistik OPS PANTAU 2022 yang telah dilaksanakan bermula 3 sehingga 4 April 2022, sebanyak 7,106 premis telah diperiksa di seluruh Negara dan daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 17 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM 4,200.00

Tegasnya, Kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang banyak terhadap sesebuah premis atau gerai. KPDNHEP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika peniaga didapati bersalah mencatut seperti yang yang diperuntukkan di bawah Akta Bekalan 1966 dan Akta kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku  peniaga berhubung perkara di atas boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi Kementerian. KPDNHEP juga akan mengoptimumkan pengoperasian Bilik Gerakan (Enforcement Command Centre) KPDNHEP bagi memastikan kepentingan dan aduan pengguna dapat ditangani dengan segera sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat