anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2022 MAJLIS AMANAT YB MENTERI BERSAMA PIHAK INDUSTRI SEMPENA PEWARTAAN PERINTAH PERIHAL DAGANGAN

Putrajaya, 7 April 2022 – Telah berlangsung Majlis Amanat Bersama Pihak Industri Sempena Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha dalam mengkaji dan membangunkan perundangan baharu berkenaan standard keselamatan barangan pengguna. Perkara ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Sejajar dengan itu, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 telah diwartakan pada 5 April 2022 dan berkuatkuasa  pada 4 Julai 2022 bagi pelitup muka bukan perubatan dan 3 Ogos 2022 bagi peranti rokok elektronik.

Walaubagaimanapun, mengambil kira maklum balas dari umum, pihak Kementerian akan menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ke 1 Januari 2023.

Pewartaan ini adalah untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan dalam negara ataupun diimport mempunyai penandaan MS SIRIM, mematuhi standard dan berkualiti, demi keselamatan pengguna. Pematuhan perintah ini adalah diwajibkan ke atas pengilang dan pengimport bagi kedua-dua produk ini, dengan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dilantik oleh KPDNHEP.

Pihak Kementerian mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport seperti berikut;

  • Syarikat : didenda tidak melebihi RM 200,000.00. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.00
  • Individu (pengeluar/pengimport) : didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjara tidak melebihi selama tempoh 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Akhir sekali, pewartaan ini merupakan inisiatif Kerajaan atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna. KPDNHEP juga berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan dan Peranti Rokok Elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat