PUTRAJAYA, 14 April 2022 – Sebagai sebuah kementerian yang mengawal selia syarikat berkepentingan asing menjalankan perdagangan pengedaran di Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha untuk menarik minat pelaburan asing di dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Merealisasikan konsep “Ease of Doing Business”, IR4.0 dan digitalisasi, prosedur permohonan untuk syarikat asing menjalankan perniagaan di Malaysia telah ditambah baik dengan melaksanakan permohonan secara dalam talian melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0. Permohonan melalui sistem BLESS 2.0 ini dilihat telah mempermudahkan proses permohonan syarikat dan sekaligus menarik minat lebih ramai pelabur asing untuk membuka lebih banyak cawangan perniagaan dalam negara.
Menurut Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna, sistem ini mampu menampung dan mempercepatkan proses permohonan yang semakin meningkat, sejak akhir-akhir ini. Diantara tahun 2020 dan 2021, KPDNHEP telah menerima sebanyak 1,280 permohonan daripada 573 buah syarikat asing untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia. Perniagaan mereka meliputi peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman (Food and Beverages).
Jumlah kumulatif modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat asing pada tahun tersebut ialah sebanyak RM11.383 bilion dengan 33,123 peluang pekerjaan telah diwujudkan di dalam pasaran tempatan.
Manakala bagi sektor perkhidmatan tidak dikawal selia seperti syarikat perunding, ejen logistik, ejen hartanah dan perkhidmatan pembaikan mesin dan peralatan, kementerian ini telah meluluskan sebanyak 87 permohonan daripada 149 permohonan daripada syarikat asing pada tahun 2020 dan 2021. Jumlah keseluruhan modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat asing pada tahun tersebut ialah sebanyak RM828.84 juta.
Tambahnya lagi, sepanjang tempoh ini juga, kementerian ini telah meluluskan permohonan syarikat asing daripada 31 buah negara untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan tidak dikawal selia. Syarikat dari negara Jepun merupakan syarikat yang paling banyak diluluskan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor ini iaitu sebanyak 132 syarikat diikuti oleh syarikat dari negara Singapura (70 syarikat), United Kingdom (46 syarikat), Korea Selatan (38 syarikat) dan Australia (19 syarikat).
Akhir sekali, KPDNHEP akan terus komited untuk membantu memudahcarakan proses permohonan supaya dapat menarik minat lebih ramai pelaburan asing yang berkualiti di bawah sektor ini untuk membuka perniagaan di Malaysia.Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..
Oleh : Unit Komunikasi Korporat