anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2022 FRANCHISE INTERNATIONAL MALAYSIA 2022 (FIM2022) PUSAT SEHENTI USAHAWAN FRANCAIS TEMPATAN DAN ANTARABANGSA

KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2022, KHAMIS–Telah berlangsung  Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2022 (FIM2022) yang dirasmikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pameran yang berlangsung dari 8 hingga 10 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini disertai oleh hampir 100 jenama francais tempatan dan antarabangsa daripada 9 buah negara termasuk Amerika, Australia, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Malaysia sendiri. Selain syarikat francais, FIM turut mengumpulkan beberapa agensi  berkaitan serta pembekal bagi mewujudkan ekosistem francais yang bersepadu.

 Pameran dan persidangan francais terbesar di Asia Tenggara ini mensasarkan seramai 14,000 orang pengunjung dengan jangkaan potensi pelaburan francais berjumlah RM450 juta sepanjang pameran tiga hari itu berlangsung.

 Menurut Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, FIM adalah platform terbaik untuk menerokai pelbagai peluang perniagaan francais serta mendapatkan pelbagai maklumat mengenai francais termasuk berkaitan bantuan dan insentif kerajaan, khidmat sokongan, aktiviti pembangunan serta program latihan yang tersedia di dalam industri francais.

 Selain itu, FIM juga merupakan platform kepada syarikat francais tempatan untuk mempromosikan perniagaan masing-masing melalui pakej francais serta mewujudkan peluang transformasi perniagaan konvensional kepada konsep francais.

 Dalam pada masa yang sama, FIM juga turut mengetengahkan beberapa aktiviti lain seperti sesi padanan perniagaan, sesi rundingan francais, sesi taklimat francais yang dinamakan franchise pit-stop, aktiviti edutainment serta persidangan francais.

 Program ini turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Secure Robotic, Q-Solve, Harta Maintenance, Marrybrown, Seer Marketing, Bubblebee, My Laksa, At Tea, Ayam Penyet Best, Boat Noodle, Siti Khadijah, dan Smart Reader Kids.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat