anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 BAKEWITHWAWA BANTU JANA PENDAPATAN SURIRUMAH DAN WANITA BEKERJAYA

BAKEWITHWAWA BANTU JANA PENDAPATAN SURIRUMAH DAN WANITA BEKERJAYA

KUANTAN, 1 Januari 2023 - YB Senator Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah merasmikan pembukaan Bakewithwawa Bakery.

Bakewithwawa ini merupakan satu model perniagaan yang telah membuka peluang kepada orang ramai terutamanya suri rumah dengan memperkenalkan konsep ejen bagi menjana pendapatan mereka. Konsep seperti ini dilihat dapat membantu mengembangkan perniagaan beliau pada skala lebih besar di masa akan datang dan pada waktu yang sama dapat berkongsi rezeki dengan agen-agen yang turut bergabung dengan perniagaan beliau.

Bakewithwawa telah menjual lebih dari 17,000-unit produk yang terdiri daripada kek dan biskut dengan jualan melebihi RM680,000 bagi tempoh 3 tahun dari tahun 2020 hingga tahun 2022. Perniagaan ini turut telah mencipta peluang menjana pendapatan kepada 35 ejen yang terdiri daripada suri rumah dan golongan wanita bekerja di negeri Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Untuk makluman, jumlah pemilikan wanita dalam industri bakeri di Malaysia yang aktif berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia adalah seramai 26,724 dan daripada jumlah tersebut seramai 17,173 adalah pemilikan wanita Melayu. Bagi memastikan golongan pengusaha tempatan sentiasa mendapat sokongan daripada Kerajaan, Kementerian ini telah memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). KBBM merupakan kempen berterusan sepanjang masa bagi melestarikan budaya mengutamakan barangan Malaysia ketika berbelanja, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan.

 Selain itu, menerusi Program Pembangunan Produk Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan, Kementerian turut membantu usahawan PKS meningkatkan mutu dan kualiti produk PKS untuk bersaing dan seterusnya berpotensi untuk dipasarkan di pasar raya besar dengan penambahbaikan terhadap pembungkusan, pelabelan dan tempoh hayat produk. Kementerian ini turut menyediakan pelbagai latihan keusahawanan, membuka peluang-peluang untuk meluaskan pasaran melalui KBBM dan business matching melalui Kursus Access to Retail.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat