anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 KPDN PERKENALKAN “PAYUNG RAHMAH”

KPDN PERKENALKAN PAYUNG RAHMAH

KLANG, 11 JANUARI 2023, RABU – YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penurunan Harga 1,000 Barangan Dan Jualan Rahmah di Pasar Raya Econsave, Pandamaran, Klang.

YB Menteri dalam ucapan perasmiannya telah memaklumkan bahawa KPDN telah melancarkan kempen Payung Rahmah yang merupakan satu inisiatif baru dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat. Antara program- program yang akan dilaksanakan di bawah program Payung Rahmah ini adalah Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah.

Jualan Rahmah merupakan program jualan murah sepanjang tahun yang akan dilaksanakan oleh hypermarket dan pasaraya di seluruh negara. KPDN boleh memberi permit notis jualan murah bagi mana-mana pasaraya untuk melaksanakan Jualan Rahmah sehingga maksimum empat (4) bulan.

KPDN juga menyasarkan hypermarket dan pasaraya yang menyertai Jualan Rahmah ini untuk menawarkan harga barangan keperluan diantara 10% - 30% lebih murah dari harga biasa di premis masing-masing di seluruh negara.

Pada hari ini Pasar Raya Econsave melancarkan kempen penurunan 1,000 barangan dan Jualan Rahmah untuk memberikan harga barangan yang berpatutan. Econsave akan menawarkan potongan harga diantara 10%-30% untuk 1,000 SKU sehingga 22 April 2023 di semua cawangan Econsave di seluruh negara.

KPDN menyeru supaya lebih ramai lagi pemain industri khususnya hypermarket dan pasaraya supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat