anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 PREMIS PERINDUSTRIAN DISYAKI MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI

PREMIS PERINDUSTRIAN DISYAKI MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI

PUTRAJAYA, 10 Januari 2023 – Satu lagi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Serbuan dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nombor yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Estet Perindustrian Bemban 3, Batu Gajah, Perak pada 7 Januari 2023.

Menurut Tuan Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Ketika serbuan dilakukan, seorang individu lelaki warga tempatan ditemui berada di dalam premis terbabit bersama beberapa buah tangki yang kosong dan berisi minyak diesel. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis dan tangki terbabit, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 38,000 liter selain pam bermotor, flow meter dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Minyak diesel, pam bermotor, telefon bimbit serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 95,000.00.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambahnya lagi, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap melalui saluran saluran rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat