anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 JUALAN RAHMAH BAJU RAYA JAKEL

image

KUALA LUMPUR, 22 MAC 2023, RABU – Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan RAHMAH Bersama JAKEL yang diadakan di JAKEL Mall, Kuala Lumpur.

Pelaksanaan Inisiatif Payung RAHMAH di seluruh cawangan JAKEL di seluruh negara ini meliputi aktiviti Jualan RAHMAH yang dijalankan bersempena dengan Jualan Murah Ulang Tahun JAKEL Yang Ke-40 sejak 17 Februari 2023 yang lalu dan merangkumi pelbagai produk pakaian yang sedia untuk dipakai terus (ready to wear) seperti baju melayu dewasa dan baju melayu kanak-kanak yang dilengkapi dengan butang baju melayu dan kain samping percuma, baju kurung dewasa, baju kurung kanak-kanak, kurta dan kain samping, yang masing-masing ditawarkan pada harga yang lebih rendah sehingga 20% berbanding harga jualan murah sedia ada.

Menurut YB Datuk Seri Salahuddin, pihak Kementerian melihat tambahan diskaun di bawah Jualan RAHMAH yang ditawarkan oleh JAKEL ini sebagai tawaran yang amat berbaloi, berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia, seiring dengan kualiti material pada setiap produk. Seterusnya, Jualan RAHMAH ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Di bawah Inisiatif Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga. Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat