anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 BEKALAN TELUR AYAM DI PANTAI TIMUR STABIL DAN MENCUKUPI MENJELANG AIDILFITRI

bekalan telur ayam di pantai timur stabil dan mencukupi menjelang aidilfitri

PUTRAJAYA, 21 APRIL 2023 – Susulan berita gangguan bekalan telur ayam negeri di Pantai Timur menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pihak – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum laporan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 April 2023 mengenai isu tersebut.

Menurut YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri PDN, Kementerian telah mengambil tindakan segera dengan melakukan pemeriksaan dan pemantauan di beberapa buah pasar raya dan pasar raya besar terpilih di negeri Kelantan dan Terengganu. Hasil pemeriksaan itu mendapati kebanyakan pasar raya masih mempunyai bekalan telur ayam pelbagai gred yang mencukupi menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, Kementerian juga sentiasa melakukan pemantauan berkala berhubung keberadaan bekalan telur ayam ke atas 225 buah premis Pengedar Peruncit Terpilih (Dedicated Distributor Retailer) di seluruh negeri Kelantan. Berdasarkan statistik bekalan telur ayam di premis tersebut sehingga 20 April 2023, sebanyak 220,140 biji stok telur ayam pelbagai gred masih ada di pasaran.

Tambahnya lagi, bekalan telur ayam di negeri Kelantan tidak mengalami masalah dan masih mencukupi untuk kegunaan isi rumah sempena musim perayaan ini. Pada masa yang sama, melalui pemeriksaan di peringkat runcit dan borong juga, kedudukan bekalan telur ayam di seluruh Kelantan adalah stabil.

Di Terengganu pula, bekalan telur masih boleh diperolehi di pasar raya-pasar raya utama dan juga di kedai-kedai runcit di pekan-pekan kecil. Hasil pemantauan menunjukkan permintaan terhadap telur semakin menurun kerana berakhirnya bazar-bazar Ramadan dan tiada lagi permintaan yang banyak dari industri kuih, kek dan biskut raya. Telur daripada gred kawalan juga masih banyak dan dijangka mampu untuk menampung permintaan pengguna.

Orang ramai khususnya pengguna di Pantai Timur dinasihatkan agar tidak panik dengan situasi ini dan berhemah apabila membeli telur ayam untuk kegunaan di musim perayaan ini bagi mengelakkan gangguan ke atas bekalan telur ayam di pasaran.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat