anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 LAWATAN KERJA RASMI KPDN SERTA MISI PERDAGANGAN FRANCAIS MALAYSIA KE MELBOURNE

image

MELBOURNE, 7 MEI 2023 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi sulungnya bagi Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne, Australia sempena dengan Franchising & Business Opportunities Expo 2023 (FBOE 2023).

Misi ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) yang bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan lebih banyak eksport francais ke negara luar.

Tambahnya lagi, objektif utama misi perdagangan ini adalah bertujuan untuk memacu dan menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Australia termasuk bekerjasama dengan pelabur-pelabur berpotensi dan bersesuaian melalui pameran itu.

Ia adalah satu peluang yang baik bagi syarikat Francais Malaysia untuk bekerjasama dengan bakal ahli perniagaan Francais Australia bagi mengembangkan perniagaan mereka di pasaran Australia. Misi perdagangan antarabangsa Francais Malaysia ini adalah yang pertama untuk tahun ini. Selain itu juga, terdapat cadangan beberapa negara lain untuk misi perdagangan seperti Thailand, Indonesia, Türkiye, dan India yang akan bermula dari bulan Julai sehingga Oktober 2023.

Delegasi ini juga terdiri daripada pegawai daripada KPDN, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Persatuan Francais Malaysia (MFA), dan lapan (8) jenama francais terkemuka Malaysia iaitu Oldtown White Coffee, Marrybrown, Smart Reader Kids, Q-Dees, US Pizza, Laundrybar, CheeseU dan HOME Maths Therapy.

Baru-baru ini, Marrybrown telah melantik francaisi induk mereka di Australia, manakala Smart Reader Kids telah membuka cawangan ke-4 di Melbourne. Ini adalah contoh yang baik untuk syarikat lain bagi menembusi pasaran antarabangsa dengan mempromosikan jenama Malaysia.

Untuk pengetahuan, sehingga kini sebanyak 68 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 75 negara. Antara jenama Francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Australia ialah Marrybrown, Tealive, Global Art, Smart Reader Kids, Aloha Mental Arithmetic, dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, misi ini telah mencapai sasarannya dan berjaya menarik nilai potensi pelaburan berjumlah RM30 juta dari negara Australia, termasuk hasil gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, serta potensi eksport dari Malaysia ke Australia.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat