anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 PELAKSANAAN INISIATIF DI BAWAH PROGRAM PAYUNG RAHMAH BERSAMA FOODPANDA MALAYSIA

image

 

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2023, SELASA– Telah berlangsung Majlis Pelancaran Inisiatif Payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat Korporat foodpanda Malaysia, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Menurut YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidu, foodpanda Malaysia akan melaksanakan empat (4) Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH yang terdiri daripada Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH.

Dalam menyokong inisiatif Kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, foodpanda Malaysia memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam Menu RAHMAH daripada aplikasi dan laman sesawangnya pada harga mampu milik iaitu RM5 atau kurang.

Tambahnya lagi, inisiatif yang dilaksanakan ini, foodpanda bersama-sama berganding bahu dengan rakan kongsi restoran dalam usaha menawarkan item Menu RAHMAH untuk dihantar kepada pelanggan. Pelaksanaan inisiatif ini menjadikan foodpanda Malaysia sebagai platform perintis yang menawarkan penghantaran Menu RAHMAH di Malaysia.

Selaras dengan majlis pada hari ini, foodpanda Malaysia turut komited menyumbang sebanyak 300 Bakul RAHMAH bernilai RM15,000.00 yang akan diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan melalui Yayasan RAHMAH Malaysia.

Selain itu, Pandamart iaitu kedai runcit foodpanda turut menawarkan kepada pengguna kemudahan penghantaran barangan runcit terus ke pintu rumah melalui Inisiatif-Inisiatif Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH dengan menawarkan produk makanan dan pakej barangan runcit pada harga mampu milik dengan penjimatan tambahan untuk masa terhad.

Pakej RAHMAH oleh Pandamart ini menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50.00 dan RM30.00 setiap satu, dengan penjimatan sehingga 25% untuk para pembeli yang ingin mendapatkan tawaran terbaik semasa membeli-belah untuk barangan keperluan harian mereka.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat