anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 STATUS PENGEDARAN SEMASA GULA PUTIH BERTAPIS KASAR DAN HALUS

image

KUALA LUMPUR, 6 JUN 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan bersabit Had Jumlah Pengeluaran dan Jumlah Edaran Gula Pasir Putih Bertapis (Kasar dan Halus) Pek 1 Kilogram dan 2 Kilogram terhadap dua (2) syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Menurut YB Menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub, jumlah minimum pengeluaran dan edaran bulanan Gula Pasir Putih Bertapis (Kasar dan Halus) pek 1 kilogram dan 2 kilogram yang ditetapkan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad adalah sebanyak 24,000MT manakala Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) sebanyak 18,000MT.

Dalam pada itu, Arahan ini juga telah dikeluarkan kepada Pemborong Utama kedua-dua syarikat pengeluar gula tempatan tersebut bagi memastikan gula pasir putih bertapis kasar dan halus yang diterima diedarkan segera kepada pelanggan. Pemantauan holistik dan terperinci dilaksanakan bagi memastikan keberadaan bekalan gula sentiasa stabil di pasaran.

Tambahnya lagi, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan oleh Pasukan Petugas Khas di bawah OPS MANIS pada 3 Mei 2023 sehingga 4 Jun 2023 2 melibatkan empat (4) buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. Sehingga 4 Jun 2023, sebanyak 2,576 premis perniagaan telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa dan sejumlah 60 aduan merangkumi isu gula telah diterima. Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, terdapat 7 tindakan kes telah diambil. Secara keseluruhannya, bekalan gula di pasaran tidak menunjukkan sebarang masalah bekalan yang kritikal, mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir.

KPDN ingin menegaskan kepada setiap pihak terlibat pada setiap rantaian perbekalan gula supaya terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan gula dan tiada mana-mana pihak boleh menyorok, enggan menjual atau mengenakan penjualan bersyarat serta menjalankan urusniaga gula tanpa lesen.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat