anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 JENAMA PAKEJ RAHMAH INSURANS DAN PAKEJ RAHMAH TAKAFUL DIPERKENALKAN

image

PUTRAJAYA, 22 JUN 2023, KHAMIS – YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah melancarkan jenama “Pakej RAHMAH Insurans” dan “Pakej RAHMAH Takaful” yang diadakan semasa Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya.

Pelancaran kedua-dua jenama ini adalah seiring dengan hasrat KPDN yang memperluas pelaksanaan Program Payung RAHMAH agar turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda (seperti kenderaan bermotor). Selain itu, pelancaran kedua-dua jenama ini turut menunjukkan perkembangan pelaksanaan Inisiatif Pakej RAHMAH semakin berkembang di seluruh negara yang dimulakan oleh sektor peruncitan, perhotelan/hospitaliti, fisioterapi dan farmasi.
Menurut YB Menteri, KPDN amat berbesar hati dengan penyertaan jenama insurans “Allianz Malaysia” (diterajui oleh Allianz General Insurance (Malaysia) Berhad), dan jenama insurans dan takaful “Etiqa” (diterajui secara bersama oleh Etiqa General Insurance Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad) yang telah menyahut cabaran dengan memulakan pelaksanaan inisiatif ini melalui operasi perniagaan masing-masing.
Turut berlangsung pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023, bagi menyokong agenda Kementerian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah memperuntukan RM200 ribu di bawah Inisiatif Tunai RAHMAH bertujuan membantu golongan usahawan asnaf B40 terutamanya peniaga kecil yang memiliki harta intelek untuk melindungi serta mendaftar IP mereka. Inisiatif ini juga bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan kestabilan sumber pendapatan yang menyumbang ke arah peningkatan pertumbuhan ekonomi negara. 
Selain pendaftaran harta intelek, pemberian Bantuan IP2U RAHMAH termasuk sebagai modal pembelian peralatan perniagaan dengan jumlah RM3,000.00 setiap usahawan asnaf. Sebagai permulaan, seramai 10 orang usahawan asnaf di sekitar lembah klang terpilih untuk menerima sumbangan Bantuan IP2U RAHMAH yang disampaikan oleh YB Menteri KPDN.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri KPDN turut melancarkan aplikasi “IP2U” bagi memudahkan orang ramai terutamanya pemilik harta intelek untuk menyemak status pemfailan, membuat carian harta intelek dan menerima notifikasi tempoh tamat pendaftaran. Aplikasi yang dibangunkan MyIPO ini dihubungkan terus dengan Sistem Pengurusan Harta Intelek (SPHI) serta boleh diakses dengan lebih pantas menerusi peranti pintar.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat