anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 KPDN BERJAYA PATAHKAN CUBAAN SELEWENG 47,540 LITER MINYAK DIESEL

image

MASAI, 19 OGOS 2023, SABTU– Satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi telah Berjaya ditumpaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah OPS TIRIS dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai, Johor yang disyaki beroperasi tanpa lesen pada 19 Ogos 2023.
Turut bersama-sama dalam serbuan tersebut ialah YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBrs Tuan Shamsul Nizam Khalil, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN serta Pegawai Kanan kementerian.
Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya adalah hasil risikan yang telah dilakukan sejak 6 bulan sebelum operasi dilaksanakan bermula kira-kira jam 8.10 malam.
Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 47,540 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.
Dalam serbuan itu, sebuah motorlori tanker, 2 buah lori bonded, 1 kenderaan pikap 4x4 dan minyak diesel telah disita bagi siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM267,457.00.
Seorang lelaki warganegara tempatan berumur 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu treler juga telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pada masa yang sama syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

Oleh: Unit Komunikasi Korporat