anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 PREMIS DISERBU, JUAL HARGA BERAS MENGELIRUKAN

image

 

PUTRAJAYA, 13 SEPTEMBER 2023 – KPDN telah membuat serbuan di sebuah premis terkemuka yang menjual beras dengan harga mengelirukan di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 10 September 2023. Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya adalah hasil aduan daripada orang awam yang diterima oleh pihak KPDN berhubung penjualan beras jenama Bird of Paradise Super Siam varian 10kg dengan harga yang mengelirukan.

Menurut YB Datuk Armizan Mohd Ali, Pemangku Menteri KPDN, hasil pemeriksaan awal mendapati, harga yang dipamerkan pada tanda harga beras jenama Bird of Paradise Super Siam 10kg itu adalah RM52.40 manakala harga yang dicetak pada plastik pembungkus beras berkenaan adalah RM48.80 dengan perbezaan harga sebanyak RM3.60.

Anggota penguat kuasa telah bertindak melakukan imbasan harga pada mesin pengimbas harga di premis berkenaan dan mendapati harga yang tertera melalui imbasan tersebut adalah RM52.40 berbanding harga pada pembungkus beras itu RM48.80.

Tindakan kes telah dilakukan oleh pasukan serbuan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] iaitu memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga apa-apa barang atau perkhidmatan.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta 599 ini, mana-mana orang boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi mana-mana pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00.

Tambahnya lagi, KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan termasuklah tidak mempamerkan harga mengelirukan ke atas barangan yang dijual.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu kekurangan bekalan atau kenaikan harga beras, boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi yang disediakan.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat