anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 PROGRAM JUALAN RAHMAH BERGERAK TERUS DIPERGIATKAN DI 36 LOKASI DI SELURUH PAHANG

image

KUANTAN, 28 SEPTEMBER 2023 – YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah melakukan sesi walkabout di Program Jualan RAHMAH Bergerak Peringkat Negeri Pahang yang diadakan di PPRS Pinggiran Putra (Flat Pak Mahat), Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Program Jualan RAHMAH yang diadakan di PPRS Pinggiran Putra (Flat Pak Mahat) ini diadakan dengan konsep “Kedai Cari Rakyat” yang menawarkan sehingga 14 item barang keperluan harian yang terdiri daripada barangan kering dan basah yang ditawarkan dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran tempatan.

Menurut YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Sehingga 26 September 2023, KPDN Negeri Pahang telah melaksanakan Program Jualan RAHMAH di sebanyak 179 lokasi di seluruh 14 parlimen dan 42 DUN di Negeri Pahang. Pecahan mengikut model iaitu di dalam premis sebanyak 120 lokasi, di luar premis sebanyak 23 lokasi dan secara bergerak sebanyak 36 lokasi dengan bilangan pengunjung melebihi 236 ribu orang. Manakala penganjuran PJR di seluruh Negara pula telah merekodkan kehadiran melebihi 3.4 juta orang.

Program yang berlangsung selama sehari pada 28 September 2023 (Khamis), ini akan memberi manfaat kepada penduduk di Flat Pak Mahat dan kawasan sekitarnya. Untuk makluman, harga pasaran tempatan bagi beras import 5 kg berharga RM19.90/pek dijual pada harga RAHMAH iaitu RM14.00/pek, manakala ayam standard dengan anggaran berat 1.5 kilogram dijual pada harga RM10.00 seekor berbanding harga siling iaitu RM9.40 sekilogram (RM14.10 seekor).

Antara barang-barang lain yang dijual dan ditawarkan adalah seperti minyak masak 5 kg, tepung gandum, biskut, milo, bawang besar, susu pekat, bihun, maggi, sardin, sayur-sayuran, dan barangan keperluan asas yang lain.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat