anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 PEMERIKSAAN & PEMANTAUAN HARGA BARANG

image

 

Putrajaya, 1 November. YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Pemangku Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah meluangkan masa turun padang untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di premis-premis di sekitar Putrajaya pada 1 November 2023.

Tujuan pemeriksaan dan pemantauan ini dilaksanakan bagi meninjau situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula hari ini iaitu 1 November 2023 seperti yang telah diumumkan oleh YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan pada 30 Oktober 2023.

KPDN telah menggerakkan 2268 anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi Pasar Basah, Hypermarket dan Supermarket, Pasar Mini dan Kedai Runcit di seluruh Malaysia.

KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang berkuat kuasa dengan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak KPDN.

Turut hadir sama, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar-Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Datuk Azman bin Adam-Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN serta Pegawai Kanan Kementerian.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat