anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 OPS TIRIS - PREMIS DISYAKI DIJADIKAN TEMPAT TRANSIT MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DISERBU PENGUAT KUASA KPDN

image

PUTRAJAYA, 8 DISEMBER 2023 – Satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Klang, Selangor yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan menerusi OPS TIRIS pada 6 Disember 2023.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Selangor bermula kira-kira jam 2.30 pagi itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN selama dua minggu menerusi hasil maklumat dan aduan orang awam.

Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori bonded yang telah diubahsuai dengan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Lembah Klang. Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain sebelum dijual di pasaran.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 12,100 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel beserta penahanan empat orang lelaki, dua daripadanya warga asing yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit serta pemilik lori berkenaan, berumur lingkungan di antara 25 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Selain itu, dua buah lori, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain turut ditemui di lokasi serbuan dan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM218,015.00. 2

Kementerian akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasanya dan memperhebatkan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa. Masyarakat juga disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan Negara. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran aduan portal laman rasmi KPDN.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat