Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI PERINGKAT KAMPUNG MEROTAI BESAR, TAWAU

MEROTAI, 3 MAC 2024, AHAD - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meluangkan masa turun padang dengan melakukan sesi walkabout di Program Jualan RAHMAH MADANI di Kampung Merotai Besar, Tawau, Sabah sempena sesi lawatan kerja rasmi beliau ke Tawau, Sabah.

Program Jualan RAHMAH MADANI telah berlangsung selama sehari pada 3 Mac 2024 bermula jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

Antara barang-barang keperluan harian yang dijual dengan potongan harga sehingga 30 peratus adalah seperti beras, ayam segar, ikan, buah-buahan, sayur-sayuran, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, biskut, bawang merah, susu pekat, bihun, sardin, kicap manis, cecair pencuci pinggan dan, sabun pencuci dan banyak lagi barang-barang keperluan harian yang lain.

Pada masa yang sama, YB Menteri turut melakukan sesi happy hour dan cabutan bertuah bagi pengunjung-pengunjung yang hadir.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


LAWATAN KERJA RASMI YB MENTERI PDN KE PULAU SEBATIK, TAWAU, SABAH - TINJAUAN KE SEMPADAN PERAIRAN MALAYSIA-INDONESIA

PULAU SEBATIK, 3 MAC 2024, AHAD - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah memulakan lawatan kerja rasmi ke Tawau, Sabah dengan mengadakan tinjauan ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

Antara objektif dan tujuan utama lawatan kerja ini dilaksanakan adalah untuk melihat operasi di lapangan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan di kawasan sempadan bagi menangani isu ketirisan barang-barang kawalan dan barang-barang kawalan bersubsidi.

KPDN mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi menerusi pendekatan operasi bersepadu bermula pada tahun 2020 bagi memantau pengedaran dan mengawal ketirisan barangan kawalan.

Kerjasama ini meliputi pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia yang berpotensi digunakan sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan.

KPDN juga telah mengadakan Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan bersama 16 Agensi-agensi Penguatkuasaan di Sabah bagi memperkukuhkan kerjasama dan keberkesanan penguatkuasaan.

Antara fokus penambahbaikan mekanisme penguatkuasaan adalah keperluan logistik semasa tangkapan dan sitaan, bantuan keselamatan, perkongsian maklumat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serahan kes daripada pelbagai agensi kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDN.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


LAWATAN KERJA RASMI YB MENTERI PDN KE PULAU SEBATIK, TAWAU, SABAH - PEMANTAUAN PENGEDARAN BARANG KAWALAN DAN BARANG PERLU

PULAU SEBATIK, 3 MAC 2024, AHAD - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengadakan  lawatan kerja rasmi dengan mengadakan pemantauan pengedaran barang kawalan dan barang perlu di sekitar Pulau Sebatik, Tawau, Sabah.

Antara tujuan utama sesi turun padang ini adalah bagi mendapatkan maklum balas masyarakat setempat tentang keberadaan bekalan barang-barang keperluan harian. Seterusnya, bagi mengenal pasti mekanisme penambahbaikan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan dan Barang Perlu di kawasan sempadan.

KPDN juga meletakkan keutamaan untuk menambahbaik pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan Bagi Kawasan Pedalaman dan Pulau-Pulau.

Penambahbaikan ini akan melibatkan empat komponen iaitu kaedah perolehan pelantikan syarikat perkhidmatan pengangkutan (transporter), penentuan jumlah kuantiti bekalan, mekanisme kawalan pengedaran bekalan dan kaedah pemantauan penjualan.

Penambahbaikan perlu dilaksanakan untuk memastikan objektif pelaksanaan program ini dapat dicapai sekali gus menangani ketirisan subsidi kerajaan dan manfaat pelaksanaan sampai kepada golongan sasar.

Untuk makluman, peruntukan keseluruhan Program Penyeragaman Harga yang diluluskan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM225 juta. Bagi daerah Tawau dan Kalabakan, sebanyak tiga zon terlibat meliputi 13 kawasan pengedaran dan 32 buah Point of Sale. Bagi Zon Sebatik, terdapat lapan kawasan pengedaran yang terlibat iaitu Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tongkang, Bergusong, Sungai Pukul, Sungai Pisak-Pisak, Sungai Lahi dan Sungai Laba dengan 21 buah Point of Sale.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


PROGRAM ADVOKASI KEPENGGUNAAN (PELINDUNGAN HARTA INTELEK) ANJURAN KPDN WPKL TAHUN 2024

KUALA LUMPUR, 27 FEBRUARI 2024, SELASA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Advokasi Kepenggunaan (Pelindungan Harta Intelek) bertempat di Dewan Bunga Raya, Pejabat KPDN WPKL.

Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada persatuan-persatuan pemilik perniagaan makanan serta persatuan pengguna berkenaan kepentingan pematuhan ke atas perundangan hak cipta khususnya berkaitan kesalahan pelanggaran hak cipta yang melibatkan teknologi penstriman selaras dengan perkembangan penyiaran karya secara dalam talian serta tayangan-tayangan di premis perniagaan yang tidak menggunakan lesen penyiaran komersial.

Program advokasi telah disampaikan oleh penceramah daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Bahagian Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Bahagian Pengurusan Kandungan Platform Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memberikan kefahaman yang komprehensif kepada para wakil persatuan.

Turut serta dalam program ini adalah wakil-wakil persatuan seperti Pertubuhan Sahabat Tomyam Perihatin Semalaysia (SAHABAT TOMYAM), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India (PRIMAS), Rakan KPDN dan Persatuan Kebajikan Wanita, Ibu Tunggal & Warga Emas (PERWATIE) serta Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM).

Oleh: Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive